KLANG, 29 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik pembabitan pihak swasta dalam menjayakan program Wira Anti Rasuah (WAR) menerusi inisiatif pengecualian cukai.
Terbaharu, Duopharma Biotech Berhad berkolaborasi dengan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM untuk menjayakan program WAR membabitkan seramai 119 pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Klang di sini, hari ini.
Ketua Seksyen Kokurikulum, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Haslinda Hamzah berkata, ini adalah program kali kedua dilaksanakan menerusi pendekatan pengecualian cukai di bawah Seksyen Sekolah.
Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni, menyemai etika dan integriti sejajar dengan Strategi 1: Pendidikan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028.
Program dimulakan dengan ceramah 'Kami Wira Antirasuah' yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PKPs Syahriman Yahya diikuti dengan pelbagai pengisian aktiviti, kuiz serta kemunculan maskot Kapten MACC.
Untuk rekod, selepas lebih 11 tahun diperkenalkan, sehingga 30 Ogos 2025 sebanyak 269 program WAR telah dijalankan dengan melibatkan seramai 81,273 murid di seluruh negara.
Program diakhiri dengan sesi ceramah bertajuk Kesalahan Utama Rasuah oleh PsK K. Sivarasan kepada guru-guru, wakil daripada syarikat Duopharma Biotech Berhad dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Klang.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Haji Muhammad Saadan Mat Daris dan Guru Besar SK Batu Unjur, Badariah Mahfods.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial