AM

Harga Runcit RON95 Tanpa Subsidi Ditetapkan RM2.60 Seliter

30/09/2025 02:05 AM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan menyokong kestabilan harga.

“Dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mulai 30 Sept 2025, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter. 

“Melalui pendekatan penyasaran subsidi BUDI95 ini membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF di bawah BUDI95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi itu dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.

MOF memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.

Sementara itu, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter bagi tempoh berkenaan.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM2.93 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada paras RM2.15 seliter.

Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan petrol bersubsidi

MOF bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan pihak EHO minggu ini.

“Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah and Sarawak layak untuk harga bersubsidi,” menurut kenyataan itu. 

MOF memaklumkan kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi BUDI95.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan