SANDAKAN, 20 Sept (Bernama) -- Sebahagian restoran di daerah ini menggunakan cawan kertas dan kutleri plastik bagi membolehkan operasi perniagaan dapat diteruskan kerana bekalan air masih belum stabil setelah terjejas sejak minggu lepas.
Pekerja sebuah restoran Mohd Rosman Saluuis, 25, berkata langkah itu terpaksa dilakukan untuk menjimatkan penggunaan air bagi mencuci cawan, sudu dan garpu, sejak hari kedua gangguan bekalan air di Sandakan.
Bagaimanapun, restoran itu katanya, kekal menggunakan pinggan seramik kerana pinggan kertas mahupun polistirena tidak sesuai untuk menghidangkan makanan panas.
Mohd Rosman berkata bekalan air sudah mula disalurkan sejak Khamis lepas, namun tekanan air yang rendah tidak cukup untuk mengisi keseluruhan tangki yang diletakkan di belakang restoran itu.
"Bekalan air mula pulih, tetapi masih belum stabil. Jadi, kami perlu menggunakan air secara berhemat supaya simpanan air sedia ada boleh digunakan untuk memasak.
“Sepanjang seminggu ini, kami terpaksa beroperasi separuh hari untuk dua hari berturut-turut kerana kehabisan simpanan air. Jadi, kami harap bekalan air pulih sepenuhnya hari ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Rosman berkata selain itu, mereka juga membeli 20 hingga 30 karton air mineral 1.5 liter setiap hari untuk kegunaan restoran.
Sementara itu, pekerja kopitiam Mohd Hanif Sahari, 27, berkata ketika gangguan air berlaku kedai makan itu juga menggunakan cawan kertas sebagai alternatif supaya perniagaan terbabit dapat terus beroperasi.
"Banyak juga restoran yang terpaksa ditutup semasa gangguan bekalan air berlaku," katanya.
Bekalan air yang terjejas di Sandakan sejak 13 Sept telah kembali pulih secara berperingkat selepas Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud kembali beroperasi bermula pada Rabu lepas.
Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memaklumkan LRA Segaliud mula beroperasi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 130 juta liter air sehari setelah kerja-kerja baik pulih talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial