KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Sektor insurans dan takaful Malaysia kekal stabil meskipun ketidaktentuan luaran dan tekanan pendapatan, disokong oleh penampan modal teguh terhadap turun naik pasaran, kata RAM Rating Services Bhd.
Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata kedudukan modal sektor yang kukuh akan membantu syarikat insurans dan pengendali takaful menangani ketidaktentuan luaran dan tekanan pendapatan akibat peningkatan kos perubatan dalam segmen takaful hayat dan keluarga, serta persaingan harga dalam produk bukan hayat yang harga tidak dikawal selia.
Menerusi komentar terbarunya bertajuk, “Insurance and Takaful Insight: Reforms in Motion”, Naib Presiden Kanan RAM Ratings Financial Institution Ratings, Sophia Lee, berkata pertumbuhan dalam sektor hayat, takaful keluarga dan bukan hayat dijangka menguncup pada 2025 berikutan tekanan kos sara hidup yang berterusan dan kebimbangan terhadap kemampuan.
"Walaupun risiko penurunan pendapatan masih kekal, sektor itu mempunyai penampan modal yang mencukupi terhadap sebarang potensi kejutan," katanya.
Lee juga berkata asas kredit jangka panjang akan disokong oleh pembaharuan modal berasaskan risiko Bank Negara Malaysia (BNM), yang dijadual dilaksanakan pada 2027 atau selepasnya.
Pembaharuan itu dijangka dapat mengukuhkan daya tahan sistem, dengan beberapa syarikat insurans sudahpun menguruskan keperluan modal sebelum penguatkuasaan.
RAM Ratings berkata hampir kesemua daripada 10 syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) yang diberi penilaian oleh mereka berada pada prospek stabil, dengan paras modal secara amnya melebihi purata industri.
"Syarikat takaful hayat dan keluarga yang dinilai kami secara amnya mengatasi pertumbuhan industri,” katanya.
Agensi itu mengunjurkan pertumbuhan perniagaan baharu secara keseluruhan bagi takaful hayat dan keluarga menyederhana antara 3 dan 5 peratus pada 2025, daripada 8.3 peratus pada 2024, selepas penguncupan 2.5 peratus pada separuh pertama tahun ini.
Pertumbuhan premium bukan hayat diunjurkan berada pada 5 peratus daripada 7.3 peratus tahun lepas.
Pertumbuhan takaful keluarga mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan berbanding hayat konvensional dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan permintaan kukuh terhadap produk berkaitan pelaburan dalam kalangan syarikat insurans konvensional, manakala pengembangan takaful am perlahan kepada 8 peratus pada 2024 dan 10 peratus pada separuh pertama 2025 daripada 17 peratus pada 2023.
Mengenai keuntungan, RAM Ratings berkata prestasi pengendali takaful hayat dan keluarga akan bergantung kepada portfolio pelaburan, dengan pulangan ke atas aset susut kepada 2.5 peratus pada separuh pertama 2025 daripada 8.1 peratus tahun lepas, apabila penilaian ekuiti menjadi normal.
Pada separuh pertama 2025, tuntutan sektor bukan hayat dan nisbah gabungan kekal stabil masing-masing pada 58 peratus dan 94 peratus, berbanding 59 peratus dan 95 peratus pada 2024.
RAM Ratings berkata penetapan harga dan disiplin penaja jaminan akan menjadi kunci untuk mengekalkan kualiti pendapatan.
Menurutnya, pengendali takaful dan syarikat insurans digital baharu dengan permohonan lesen dibuka sehingga Disember 2026, boleh membantu merapatkan jurang perlindungan melalui pengedaran yang cekap kos dan produk inovatif.
"Pembaharuan berterusan untuk membendung inflasi perubatan adalah positif untuk industri dan pengguna secara keseluruhan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial