EKONOMI

Prospek Hartanah Malaysia Kekal Positif Pada Separuh Kedua 2025 - HLIB

18/09/2025 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Prospek hartanah Malaysia kekal positif untuk separuh kedua 2025 (2H 2025) dengan peluang yang luas merentas pelbagai segmen, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka merangsang permintaan industri di Johor, memberi manfaat kepada IOI Properties Group Bhd dan turut menyokong pertumbuhan kediaman untuk Sunway Bhd, IOI Properties serta UEM Sunrise Bhd.

“Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura yang akan bermula pada 2027 bakal meningkatkan permintaan kediaman berhampiran stesen, memberi manfaat kepada Sunway dan Mah Sing Group Bhd, serta meningkatkan perbelanjaan runcit daripada rakyat Singapura yang akan menyokong pusat membeli-belah baharu oleh Sunway.

“Di Negeri Sembilan, segmen industri semakin berkembang apabila negeri itu meletakkan dirinya sebagai alternatif yang kos kompetitif berbanding Selangor dengan Matrix Concepts Holdings Bhd dan Sime Darby Property Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan permintaan,” katanya.

HLIB berkata Matrix sudah memperoleh sambutan yang menggalakkan untuk pelancaran industri baharunya di perbandaran Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Selain itu, sektor pejabat juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang secara langsung memberi manfaat kepada pemilik tanah seperti Sunway dan IOI Properties.

Persekitaran politik Malaysia yang stabil juga turut meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, memberi manfaat kepada hotel, pusat membeli-belah dan taman tema yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat dalam industri hospitaliti khususnya IOI Properties dan Sunway.

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor hartanah berikutan kitaran menaik tahun demi tahun yang didorong oleh peningkatan pendapatan isi rumah, sokongan dasar dan peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Bank pelaburan itu berkata sektor berkenaan telah mengalami transformasi struktur dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan peluang-peluang baharu muncul dalam segmen perindustrian, peruncitan, pejabat dan hospitaliti.

“Para pelabur perlu melihat sektor ini dengan perspektif yang lebih luas bukan hanya bergantung kepada permintaan kediaman untuk memperoleh peluang-peluang pertumbuhan baharu ini. Kepelbagaian ini menyediakan pemaju dengan pelbagai tonggak pertumbuhan dan aliran pendapatan baharu, sekali gus memperkukuh daya keterlihatan pendapatan dan mengurangkan kebergantungan pada segmen tunggal tertentu.

“Pilihan utama kami ialah IOI Properties, OSK Holdings Bhd, Sunway dan Sime Darby Property,” tambahnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan