KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Great Eastern Takaful Bhd (GETB) bersama rakan strategiknya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan Cabaran Inovasi GREAT, satu inisiatif berskala nasional yang bertujuan memperkasakan generasi muda dalam meneroka inovasi hasil semula plastik berteraskan teknologi dan kelestarian.
Program itu memberi peluang kepada pelajar universiti dan kolej di seluruh negara untuk menambah baik mesin hasil semula plastik agar lebih pintar, mudah alih serta dilengkapi integrasi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menukar sisa plastik kepada produk bernilai.
Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata cabaran berkenaan adalah lambang komitmen syarikat itu dalam memupuk inovasi lestari dan kesedaran alam sekitar melalui pendidikan serta teknologi.
“Dengan memperkasakan generasi muda dalam meneroka inovasi dalam bidang hasil semula, kami menyumbang untuk masa depan iaitu kelestarian dan kejuruteraan bergerak seiring.
“Kami juga yakin penyelesaian yang lahir daripada inisiatif ini akan memberi inspirasi terhadap tindakan yang lebih meluas ke arah inovasi lestari di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), UTM Profesor Ts Dr Mohd Ibrahim Shapiai berkata sebagai rakan strategik, UTM membawakan kepakaran mendalam dalam bidang AI, robotik dan kejuruteraannya untuk cabaran berkenaan.
“Cabaran Inovasi GREAT memberikan peluang bermakna kepada pelajar untuk meneroka bagaimana teknologi boleh memacu penyelesaian lestari,” katanya.
Beliau berkata UTM percaya inovasi dalam bidang AI dan sistem pintar dengan tumpuan pada aspek seperti daya tahan dan mudah alih, mampu memberi impak besar dalam memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Kami berbesar hati dapat membimbing para peserta melalui proses reka bentuk, prototaip serta integrasi sistem agar idea mereka bukan sahaja kreatif, malah kukuh dari segi teknikal serta selari dengan matlamat kelestarian,” katanya.
Cabaran berkenaan menawarkan hadiah dan geran berjumlah RM77,000 bagi rekaan konsep, fungsi serta idea inovatif terbaik termasuk geran RM8,000 kepada lima pasukan terbaik bagi membantu penghasilan mesin hasil semula ciptaan mereka.
Penyertaan dibuka kepada pelajar universiti di seluruh Malaysia bermula 12 hingga 30 Sept menerusi laman sesawang research.utm.my/cairo/greatinnovationchallenge.
Selain UTM, cabaran berkenaan turut disokong oleh Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) dengan matlamat membimbing belia Malaysia dalam menerajui peralihan negara ke arah masa depan yang lebih lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial