KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) memperkasa amalan hijau dengan memberi ganjaran tunai kepada pemandu Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang mencatat perbatuan rendah, melalui program terbaharunya Allianz Electric Vehicle (EV) EcoMiles.
Dalam kenyataan hari ini, Allianz General memaklumkan pemegang polisi yang menginsurankan BEV mereka di bawah polisi Allianz Private Car Comprehensive bagi kegunaan persendirian, berpeluang menikmati ganjaran tunai hingga 15 peratus daripada premium insuran mereka dengan mengaktifkan Allianz EV EcoMiles melalui aplikasi MyAllianz tanpa kos tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Sean Wang berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat berkenaan dalam mengiktiraf dan menyokong gaya hidup pelanggan di samping menggalakkan amalan mesra alam sekitar.
Dengan menawarkan ganjaran tunai bagi perbatuan rendah dan penggunaan BEV, beliau berkata Allianz General berharap dapat memperkasa pelanggannya dalam membuat pilihan lebih lestari yang bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka bahkan kepada alam sekitar.
“Memandu BEV sudah pun satu langkah ke arah mengurangkan pelepasan karbon. Kini sama ada anda bekerja dari rumah atau hanya memandu di hujung minggu, Allianz EV EcoMiles beri lagi ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Allianz General, program itu menawarkan dua tahap ganjaran, iaitu pertama ganjaran tunai sebanyak 15 peratus daripada premium asas bersih pelanggan (selepas ditolak Diskaun Tiada Tuntutan - NCD) bagi mereka yang mencatatkan purata perbatuan sehingga 10,000 kilometer (km).
Kedua, pelanggan yang mempunyai purata perbatuan tahunan antara antara 10,001 hingga 15,000 km akan menerima ganjaran tunai 10 peratus daripada premium asas bersih mereka (selepas ditolak NCD).
“Untuk mendapatkan ganjaran tunai ini, pemegang polisi mesti mengaktifkan Allianz EV EcoMiles dalam aplikasi mudah alih MyAllianz dalam tempoh 30 hari dari tarikh berkuat kuasa polisi.
“Selepas itu, mereka perlu menyerahkan bacaan odometer dan gambar kenderaan melalui aplikasi dalam tempoh 14 hari sebelum atau selepas tarikh tamat polisi. Setelah penghantaran diluluskan, ganjaran tunai akan dikreditkan ke akaun pemegang polisi,” katanya.
Untuk tempoh yang terhad, Allianz General juga menawarkan kredit pengecasan EV percuma bernilai RM100 kepada pelanggan yang menginsuranskan BEV mereka di bawah polisi Allianz Private Car Comprehensive antara 29 Sept hingga 31 Okt ini, mengaktifkan Allianz EV EcoMiles dalam tempoh 30 hari dari tarikh berkuat kuasa polisi, serta memberikan alamat emel dan nombor telefon yang sah semasa proses pembelian.
“Mereka akan menerima kod penebusan untuk kredit pengecasan percuma melalui emel dan kod tersebut boleh ditebus melalui aplikasi ChargEV oleh Yinson Greentech,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai manfaat Allianz EV EcoMiles boleh layari www.allianz.com.my/ev-ecomiles.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial