AM

Dadah Bukan Isu Individu Sebaliknya Cerminan Kelemahan Sokongan Sosial - Ahmad Zahid

26/09/2025 10:45 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Isu penagihan dadah di Malaysia bukan sekadar masalah individu sebaliknya mencerminkan kelemahan sistem sokongan sosial yang sepatutnya menjadi benteng utama dalam membendung gejala tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD) itu berkata peningkatan jumlah penagih dalam masyarakat harus dilihat sebagai petunjuk kelemahan di peringkat keluarga, institusi pendidikan serta komuniti yang gagal memberikan perlindungan secukupnya.

"Dadah bukan sahaja mengancam kesihatan dan keselamatan tetapi juga merupakan ancaman kepada struktur sosial, pembangunan modal insan dan kemajuan negara.

"Oleh itu, peranan institusi sosial utama seperti institusi agama, sekolah dan keluarga menjadi amat kritikal dalam usaha membendung krisis dadah yang semakin meruncing," katanya dalam sesi temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027 bakal dilancar tahun depan bagi menangani isu penyalahgunaan dadah secara holistik berdasarkan pendekatan kempen yang menyeluruh dan berfokus agar kesedaran, intervensi serta sokongan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada pelbagai lapisan masyarakat. 

Beliau berkata kempen secara menyeluruh itu melibatkan keluarga, sekolah, institut pendidikan tinggi, tempat kerja dan institusi agama.

Ahmad Zahid berkata masjid, surau dan institusi tahfiz digerakkan sebagai pusat pencegahan dan intervensi awal dengan program seperti khutbah antidadah, kaunseling rohani dan pemulihan kerohanian diperluas manakala pegawai agama negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam turut dilibatkan sebagai rakan advokasi.

"Keruntuhan institusi keluarga dikenal pasti sebagai pencetus kerentanan anak-anak terhadap dadah. Oleh itu, program seperti Family of Association dan intervensi kekeluargaan sedang diperkasa.

“Mesej kesedaran disebarkan melalui televisyen, radio dan dokumentari dengan naratif utama 'Pencegahan Bermula dari Rumah' yang menekankan peranan ibu bapa sebagai model dan pelindung... kita mahu ibu bapa menjadi ejen pencegahan di rumah, bukan hanya bergantung pada agensi luar," katanya.

Beliau berkata JKMD juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengukuhkan modul pencegahan berasaskan nilai, membina daya tahan diri pelajar serta memberi latihan kepada guru bimbingan dan kaunselor untuk mengesan lebih awal tingkah laku yang berisiko. 

Ahmad Zahid juga berkata usaha membanteras dadah tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja sebaliknya merupakan amanah kolektif negara dan ummah.

Beliau berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komitmed untuk menumpukan strategi khusus bagi membanteras penagihan dadah dalam kalangan belia berusia 15 hingga 39 tahun, yang kini merangkumi 61 hingga 68 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih di negara ini.

Ahmad Zahid juga berkata majoriti penagih terdiri daripada lelaki dalam lingkungan umur produktif, justeru pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh, berfokus serta dekat dengan gaya hidup belia sedang giat dilaksanakan.

"Program yang dilaksanakan diacu mengikut kesesuaian dan minat dengan memasukkan elemen pembinaan jati diri, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran sosial lain yang difikirkan sangat perlu dalam proses pembangunan kendiri golongan remaja, belia serta dewasa tanpa mengira jantina dan latar belakang," katanya.

Beliau berkata antara strategi utama ialah Skuad Antidadah iaitu inisiatif sukarelawan belia yang berperanan sebagai ejen perubahan sosial dan barisan hadapan komuniti yang diberi ilmu asas mengenai dadah, kemahiran komunikasi serta intervensi berasaskan komuniti bagi mencegah pengaruh dadah dalam kalangan remaja.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata AADK melaksanakan program keibubapaan sebagai antara strategi pencegahan awal melalui pemerkasaan peranan mereka dalam menangani isu dadah di rumah dan komuniti dalam membina keluarga yang lebih berdaya tahan, prihatin serta responsif terhadap isu sosial melibatkan anak-anak.

Turut dilaksana Program Kampung Bebas Dadah iaitu inisiatif berasaskan komuniti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat seperti JKKK, masjid, sekolah dan NGO, serta Program SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab) yang memberi penekanan kepada pembangunan jati diri, ketahanan mental dan fizikal, kepimpinan serta disiplin diri dalam kalangan belia.

"Dengan adanya hubungan akrab ini, akan memberi impak positif dalam membina masyarakat yang berdaya tahan, berpengetahuan dan aktif untuk terus berganding bahu dalam mewujudkan Malaysia yang bebas dadah selaras dengan naratif Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan