KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menggesa orang ramai agar lebih berwaspada dan bersiap sedia menghadapi bencana alam berikutan berita gempa bumi di Johor baru-baru ini.
Allianz Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia komited untuk memperkasakan individu serta perniagaan dengan pengetahuan dan peralatan yang diperlukan demi melindungi aset mereka daripada kejadian yang tidak dijangka.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata kejadian baru-baru ini menjadi peringatan bencana alam boleh berlaku tanpa diduga, justeru syarikat itu menyediakan penyelesaian insurans seperti Smart Home Cover dan Allianz Business Shield yang direka khas untuk memberikan perlindungan lengkap di dalam satu pakej.
“Di Allianz Malaysia, kami komited untuk menyediakan penyelesaian perlindungan menyeluruh yang menawarkan ketenteraman kepada pelanggan.
“Dengan Smart Home Cover dan Allianz Business Shield, pelanggan kami boleh menumpukan perhatian kepada kehidupan dan perniagaan mereka, dan yakin aset penting ini dilindungi dengan baik,” katanya dalam kenyataan itu.
Allianz Malaysia memaklumkan di bawah Smart Home Cover, pemilih rumah dan/atau penghuni rumah akan dilindungi daripada 10 jenis kejadian yang tidak diduga, merangkumi bencana alam seperti gempa bumi sehingga insiden seperti kes kecurian tanpa memerlukan tambahan lain.
“Pemilik rumah kebiasaannya diminta oleh pihak bank untuk mendapatkan insurans Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA) atau Jaminan Tempoh Tahap Gadai Janji (MLTA) sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman mereka, sebagai langkah perlindungan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh ke atas peminjam dengan membantu menyelesaikan baki pinjaman yang tertunggak.
“Walau bagaimanapun, MRTA dan MLTA hanya melindungi individu bukan hartanah itu sendiri, dan walaupun polisi ini wujud, insurans rumah masih penting kerana ia menyediakan perlindungan untuk struktur fizikal rumah juga bergantung kepada polisi serta kandungannya,” menurut kenyataan.
Allianz Malaysia memaklumkan bagi memastikan perlindungan penuh dan berterusan, pemilik rumah harus sentiasa mengekalkan polisi insurans rumah yang khusus tanpa mengira status gadai janji mereka.
Syarikat itu turut memaklumkan seiring dengan usia rumah, risiko terhadap masalah seperti paip air pecah mungkin meningkat dan kerosakan seumpama itu dilindungi di bawah komponen HomeFix dalam Smart Home Cover.
Sementara itu, ahli perniagaan pula boleh menerima manfaat daripada Allianz Business Shield yang menawarkan kemudahan dengan menggabungkan pelbagai perlindungan seperti kecurian dan kebakaran dalam satu pakej yang boleh disesuaikan mengikut keperluan ahli perniagaan.
Untuk mendapatkan perlindungan daripada gempa bumi, pemilik perniagaan hanya perlu menambah 0.01 peratus daripada jumlah insurans kebakaran mereka, memastikan aset perniagaan mereka terjamin.
Memandangkan perubahan iklim dan faktor lain yang menyumbang kepada aktiviti seismik yang tidak dijangka, Allianz Malaysia menggalakkan orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat dan bertindak secara proaktif.
“Sentiasa dapatkan maklumat terkini, ikuti perkembangan berita dan amaran mengenai bencana alam. Selain itu, semak polisi insurans anda secara berkala untuk memastikan anda mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap pelbagai ancaman dan laraskan perlindungan insurans anda mengikut keperluan dan keadaan khusus anda,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial