MANILA, 29 Sept (Bernama-PNA) -- Jumlah keluarga yang terjejas akibat monsun barat daya serta siklon tropika Mirasol, Nando (nama antarabangsa Ragasa) dan Opong telah mencecah 906,794, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Isnin.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), jumlah itu bersamaan dengan 3,402,391 orang yang menetap di 8,087 daerah kecil di 16 wilayah seluruh negara, berdasarkan kemas kini situasi pada 6 pagi oleh agensi tindak balas bencana berkenaan.
Setakat laporan dibuat, seramai 30,265 keluarga ditempatkan di 1,607 pusat pemindahan manakala 84,240 keluarga lagi menerima bantuan di luar pusat pemindahan.
Jumlah kematian yang dilaporkan pula adalah seramai 27 orang, dengan hanya empat disahkan -- semuanya dari Wilayah Pentadbiran Cordillera.
Baki 23 kematian yang masih dalam proses pengesahan melibatkan sembilan dari Bicol; lapan dari Lembah Cagayan; dua masing-masing dari Luzon Tengah dan Visayas Tengah serta masing-masing satu dari Visayas Timur dan Mimaropa.
Seramai 33 orang dilaporkan cedera -- 14 daripadanya disahkan, manakala 16 orang lagi dilaporkan hilang.
Kira-kira 16,911 rumah rosak, dengan 14,311 diklasifikasikan sebagai “rosak sebahagian” dan 2,600 lagi “rosak sepenuhnya”.
Sementara itu, kerosakan kepada sektor pertanian dan infrastruktur masing-masing dianggarkan berjumlah PHP1.01 bilion dan PHP979.6 juta.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial