AM

Murid Terjejas Banjir Diberi Kelonggaran Tidak Pakai Seragam, PDPR - KPM

19/09/2025 05:15 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Murid yang terjejas akibat banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah manakala bagi yang terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menurut Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan turut memaklumkan persiapan bagi pembukaan sekolah selepas cuti penggal 2, sesi 2025/2026, termasuk kerja pembersihan serta bantuan penyelenggaraan di sekolah yang terjejas banjir, sedang dilakukan.

“KPM menyediakan bantuan terbaik kepada murid terjejas, termasuk dari segi penyediaan bahan pembelajaran serta sokongan psikososial dan emosi,” menurut kenyataan itu.

KPM meminta ibu bapa, penjaga murid, guru, pegawai dan anggota kumpulan pelaksana yang terjejas untuk memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan.

“Pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah diminta untuk mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, jabatan pendidikan negeri dan agensi berkaitan.

“KPM memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu. 

KPM memaklumkan setakat 8 pagi tadi, sebanyak 69 sekolah di Sabah dan Sarawak terkesan banjir merangkumi 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah manakala di Sarawak melibatkan 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.

“Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di premis institusi pendidikan KPM negeri Sabah sedang beroperasi,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan