AM

Malaysia Akan Perkenal Skim Kecederaan Lindungi Pekerja Di Luar Waktu Pejabat - PM Anwar

29/09/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan bagi memastikan pekerja terus dilindungi walaupun di luar waktu pejabat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengenalan skim itu hasil kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti hanya di pintu kilang atau pintu pejabat.

“Dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara hidup serta cara orang bekerja pada masa kini.”

“Lebih penting, ia akan meluaskan perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan dan kecederaan tidak terikat kepada jadual tertentu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Awal bulan ini, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia sedang merangka pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga sedang memperkukuh penggunaan sistem digital supaya perlindungan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan inklusif.

“Kemajuan sedang berjalan, walaupun masih jauh daripada sempurna. Namun keyakinan yang memandu kita jelas: kemakmuran sebenar tidak diukur pada ketinggian bangunan pencakar langit atau keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi pada maruah yang dimiliki rakyat biasa dalam menjalani kehidupan seharian mereka,” katanya.

Anwar berkata perlindungan sosial bukanlah sekadar sistem faedah birokrasi, sebaliknya merupakan infrastruktur moral.

"Peradaban awal dahulu sudah memahami perkara ini. Dalam tradisi Islam, baitulmal berfungsi memastikan kekayaan dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin, balu, anak yatim dan warga tua. Legasi keadilan dan solidariti itu terus menjadi inspirasi kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, berpandukan prinsip tersebut, Malaysia sedang merangka semula perlindungan sosialnya dengan meluaskan jaminan kepada golongan yang sekian lama berada di luar jaringan, termasuk pekerja tidak formal, suri rumah dan penunggang gig.

Dengan tema "Shaping Social Security For A World In Transition”, forum lima hari yang bermula hari ini menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari lebih 135 negara bagi membincangkan pelan hala tuju global ke arah sistem keselamatan sosial yang inklusif, mampan dan bersedia untuk masa depan.

Forum itu akan mencapai kemuncaknya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Sosial Dunia pada Jumaat ini, yang bakal menetapkan hala tuju sedekad akan datang bagi sistem keselamatan sosial dunia yang inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan