TUARAN, 21 Sept (Bernama) -- Sabah mencatatkan jumlah masjid terbanyak di negara ini dengan 1,127 buah masjid, selain 1,222 surau di seluruh negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kedudukan itu bukan untuk bermegah, sebaliknya pencapaian tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam dan menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan ummah.
"Apa yang penting, rumah ibadat ini terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ilmu, dakwah, pendidikan dan perpaduan agar bukan hanya tersohor pada namanya tetapi juga pada pencapaiannya," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di sini hari ini.
Hajiji berkata pembinaan surau baharu itu menambah bilangan rumah ibadat Islam di daerah Tuaran kepada 69 buah, merangkumi 38 surau dan 31 masjid, seiring dengan pertumbuhan penduduk dan kepesatan pembangunan daerah yang bersempadan dengan Kota Kinabalu.
"Kerajaan yakin bilangan ini akan terus meningkat selaras dengan kemajuan pesat yang berlaku di Tuaran," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang memainkan peranan penting dalam pembinaan surau tersebut melalui kerjasama, gotong-royong dan sumbangan dana masyarakat.
Menurut Hajiji, masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan solat berjemaah, tetapi berfungsi lebih luas sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu serta pembangunan sosial dan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial