AM

Sabah Cadang Beri Subsidi Pembayaran Pinjaman PTPTN, Yayasan Negeri - Hajiji

21/09/2025 04:40 PM

PENAMPANG, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sabah bercadang memperkenalkan dasar pemberian subsidi bagi pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah untuk membantu meringankan beban hutang pinjaman pendidikan anak negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dasar itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dan akan dibawa ke Kabinet Sabah dalam masa terdekat untuk diperhalusi serta dipertimbangkan terutama daripada segi kewangan.

“Saya optimis dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang. Ini bukti kesungguhan kerajaan negeri memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu di samping memastikan akses pendidikan sampai kepada pelajar.

“Kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda cerminan kepada masa hadapan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta mahasiswa dari seluruh Sabah.

Hajiji berkata sejak 2021, lebih RM1.3 bilion dibelanjakan dalam bidang pendidikan, dengan jumlah itu merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap generasi muda.

“Kerajaan negeri juga menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak Merdeka iaitu RM136 juta tahun ini yang memberi manfaat ribuan pelajar daripada pelbagai peringkat pengajian. Lebih 14 inisiatif telah diperkenalkan antaranya subsidi penerbangan dan bantuan SENTOSA untuk anak kita sambung belajar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan