AM

Program MADANI Di Kem Kok Lawi, LTAT Serah RM200,000

21/09/2025 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merasmikan projek naik taraf fasiliti Masjid As-Salam Kem Lok Kawi berjumlah RM150,000 di Kota Kinabalu, Sabah, di bawah program Kem Santuni MADANI.

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata kerja menaik taraf masjid itu disumbangkan oleh LTAT, dengan kerjasama syarikat kumpulannya UAC Berhad dan penyerahannya disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada satu majlis sempena lawatannya ke kem berkenaan hari ini.

“Mohamed Khaled turut menyerahkan cek cura bernilai RM50,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Kem Tentera, Sandakan menerusi program Sekolah Angkat MADANI.

“Melalui Kem Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, LTAT menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan warga ATM dengan menyampaikan bantuan kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan kewangan, sejajar dengan aspirasi MADANI ke arah Malaysia yang lebih penyayang dan inklusif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad Ashraf berkata dengan sokongan LTAT serta lebih 14 syarikat kumpulannya, Sekolah Angkat MADANI kini merangkumi 38 sekolah di kem ATM seluruh negara dengan jumlah peruntukan RM950,000, sekali gus memperkukuh kemudahan pendidikan anak-anak warga ATM.

Beliau berkata dalam lawatan yang sama, Yayasan LTAT turut menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM15,000 secara terus kepada 30 keluarga warga ATM di Kem Lok Kawi yang dikenal pasti sebagai golongan kurang berkemampuan dan menghadapi masalah kesihatan kritikal.

LTAT turut berkesempatan mengadakan Program Taklimat Faedah Pencarum dan Celik Kewangan yang telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 anggota ATM di seluruh negara sejak diperkenalkan pada bulan Disember 2023.

Syarikat kumpulan LTAT, Pharmaniaga Berhad melalui Skuad Operasi Sihat (SOS) turut menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma seperti ujian glukosa darah dan tekanan darah bagi menggalakkan budaya penjagaan kesihatan berterusan dalam kalangan warga ATM ketika lawatan itu. 

Kem Lok Kawi merupakan salah satu daripada lima kem yang terpilih di bawah inisiatif Kem Santuni MADANI dengan peruntukan sebanyak RM500,000 di seluruh negara, merangkumi baik pulih infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, celik kewangan dan sokongan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 5,900 keluarga ATM.

Turut hadir dalam majlis itu ialah ialah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri  Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat Left Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi, Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Mohd Nizar Sudin.

Dalam pada itu,  LTAT menyatakan solidariti padu bersama rakyat negeri Sabah yang kini berhadapan dengan banjir.

“Kami berdiri teguh dengan rakyat Sabah di waktu yang mencabar ini. LTAT mendoakan ketenangan dan keselamatan, dan kami akan terus memainkan peranan yang penting dalam menyokong keluarga ATM serta komuniti yang terkesan. Ketabahan mereka menjadi inspirasi untuk kami terus menyumbang dan memastikan tiada yang terpinggir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan