JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Cedera Ditetak Individu Tidak Dikenali Di Sungai Petani

22/09/2025 12:13 AM

SUNGAI PETANI, 21 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cedera pada kaki dan tangan akibat ditetak seorang lelaki tidak dikenali, dalam kejadian di Flat Paya Nahu dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan daripada orang awam pada 3.55 petang, memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

"Maklumat awal yang diterima memaklumkan bahawa berlaku pergaduhan dan ada mangsa yang cedera...siasatan kemudiannya mendapati mangsa mengunjungi rumah abangnya di kawasan perumahan terbabit pada 3 petang.

"Bagaimanapun ketika tiba di sana, kakak iparnya memaklumkan abangnya tiada di rumah lalu dia menunggu abangnya di bawah blok sebelum suspek tidak dikenali datang dan terus menetak mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, suspek berusia lingkungan 20-an itu dikatakan dalam keadaan mabuk sejak awal pagi.

"Mangsa yang dipercayai ditetak dengan senjata tajam itu telah dihantar untuk rawatan di Zon Merah, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

"Suspek telah ditahan dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok...siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan