DUNIA

Contohi, Bawa Pulang Nilai Positif Rakyat China - TPM Fadillah

21/09/2025 11:36 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

BEIJING, 21 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menasihatkan rakyat Malaysia di China, khususnya mahasiswa supaya mencontohi nilai positif rakyat negara itu untuk diteladani apabila kembali ke tanah air kelak. 

Beliau juga menasihatkan mahasiswa Malaysia di China supaya menggunakan tempoh pengajian mereka sebaik mungkin untuk meneladani semangat kerja keras dan kaedah pembelajaran rakyat di negara itu. 

“China mencapai tahap kemajuan hasil dedikasi dan kerja keras berdekad-dekad. Bawa pulang nilai positif ini ke Malaysia,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. 

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Beijing, anjuran Kedutaan Besar Malaysia di China yang dihadiri hampir 200 warga Malaysia di sini hari ini. 

Hadir sama pada majlis itu isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Fadillah juga mengingatkan pelajar Malaysia di China supaya mempromosi budaya dan nilai-nilai murni Malaysia selain menjadikan diri mereka sebagai rakyat kebanggaan negara di mata dunia.   

“Jumlah pelajar Malaysia di China kini mencecah 6,000 orang dengan 1,600 orang berada di Beijing. 

“Saya berharap jumlah pelajar yang ramai ini akan menyumbang kepada meningkatkan jumlah pakar dalam pelbagai bidang di Malaysia kelak sekali gus menjamin pertumbuhan dan pembangunan negara,” katanya. 

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut membuka ruang sesi soal jawab dan mendengar cadangan daripada tetamu yang hadir.

Beliau berkata hubungan China-Malaysia kini berada pada tahap paling kukuh dalam sejarah dengan beberapa lawatan peringkat tertinggi kedua-dua negara pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat China pada awal bulan ini dan Presiden Xi Jinping melawat Malaysia pada April lepas, manakala Perdana Menteri China Li Qiang membuat lawatan rasmi ke negara ini pada Jun 2024.

Fadillah dalam lawatan rasmi ke China bermula 16 Sept hingga 23 Sept ini atas undangan kerajaan China. 

Sebelum  Beijing, beliau melawat Nanning  dan berucap mewakili Malaysia pada perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 pada 17 Sept diikuti lawatan ke Chongqing pada 19 Sept. 

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan dua hala pada 2024 mencecah USD 106.4 bilion (RM444.15 bilion).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan