SUKAN

Kurang Sihat Tidak Halang Nur Syaiful Beraksi Di Kejohanan Renang Para Dunia

21/09/2025 11:43 PM

SINGAPURA, 21 Sept (Bernama) -- Masalah kesihatan dihadapi tidak menghalang perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk turun beraksi pada Kejohanan Renang Para Dunia 2025 di Pusat Akuatik OCBC di sini hari ini.

Perenang berusia 30 tahun itu menamatkan saingan 100 meter (m) kuak dada SB4 (kecacatan fizikal) di tempat kelima dengan 1 minit 43.27 saat (s).

“Sejak malam semalam rasa kurang sihat... selesema, batuk, dan sakit kepala. Fokus saya sebenarnya acara malam ni, tapi kini saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk baki dua lagi acara dengan sekurang-kurangnya perbaiki catatan peribadi saya,” katanya kepada Bernama.

Pingat emas dimenangi Atlet Paralimpik Neutral (NPA) Dmitrii Cherniaev dengan 1:33.39s manakala perenang Colombia Moises Fuentes Garcia meraih perak dan gangsa menjadi milik Antonios Tsapatakis dari Greece.

Terdahulu, Muhammad Nur Syaiful mencatatkan masa terbaik peribadi 1:42.49s untuk menduduki tempat keempat dalam saringan berlangsung sebelah pagi.

Pemenang pingat gangsa 50m gaya bebas S5 edisi London 2019 dan Madeira 2022, dijadual beraksi dalam dua lagi acara iaitu 100m dan 200m gaya bebas S5.

Kejohanan Renang Para Dunia 2025 berlangsung 21 hingga 27 Sept, mencatat sejarah sebagai edisi pertama dianjurkan di Asia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan