KUANTAN, 20 Sept (Bernama) -- Penganjuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) adalah platform terbaik meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai aspek pertahanan serta peranan boleh dimainkan dalam memastikan keamanan negara terpelihara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi dan geopolitik menuntut pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama kerajaan dan rakyat bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
Mohamed Khaled berkata soal keselamatan pertahanan bukan terletak di bawah tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja, tetapi melalui pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat.
"Penganjuran program CIMIC bukan semata-mata untuk kita mengadakan pertunjukan, persembahan ataupun pameran...sekurang-kurangnya boleh timbulkan minat untuk mereka menyertai angkatan tentera atau menceburkan diri sebagai anggota sukarelawan.
"Malah, rakyat akan mainkan peranan di mana saja mereka berada, sama ada di bandar atau di kampung untuk pastikan negara selamat selain CIMIC juga adalah instrumen untuk kita memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dan menyeluruh masyarakat (WoGoS) dapat terlaksana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada maljlis perasmian CIMIC sempena sambutan Hari ATM ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan hari ini.
CIMIC yang digerakkan Kementerian Pertahanan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh konsep pertahanan menyeluruh melalui jalinan erat antara rakyat dan anggota tentera.
Karnival berkenaan berlangsung dua hari di Pangkalan Udara Kuantan dengan pelbagai pengisian antaranya demonstrasi dinamik selain pameran aset ketenteraan oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta reruai termasuk maklumat berkaitan kerjaya dalam ATM.
Sementara itu, dalam sidang media selepas perasmian CIMIC, Mohamed Khaled berkata kerajaan sedia mempertahankan diri mengikut saluran sewajarnya, susulan saman yang difailkan sebuah syarikat berhubung pembatalan sewaan selama lima tahun empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat (AS).
"Sesiapa pun boleh saman kerajaan dan kerajaan tentunya akan lawan," katanya.
Semalam, media melaporkan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan berhubung pembatalan sewaan lima tahun melibatkan empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat (AS).
Saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial