JENAYAH & MAHKAMAH

PVATM Kesan 39 Kubur Pahlawan Terkorban Lawan Komunis

21/09/2025 03:19 PM

Oleh Mohd Taha Yaacob

JERTIH, 21 Sept (Bernama) -- Persatuan Vete­ran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) setakat ini berjaya mengesan sebanyak 39 kubur anggota tentera yang terbunuh dalam pertempuran menentang komunis di seluruh negara menerusi program Jejak Pusara Pahlawan (JPP), sejak dilancarkan pada 2019.

Presiden PVATM Kapten (B) Datuk Saharudin Omar berkata bagaimanapun, pihaknya sedang menjejak sejumlah besar lagi pusara perajurit negara yang terkorban ketika melawan musuh negara sejak 1948 hingga 1989.

“Berdasarkan cacatan sejarah, sebanyak 1,529 anggota pasukan keselamatan negara terbunuh dalam tempoh darurat pertama dan kedua termasuk anggota polis, namun ketiadaan maklumat lengkap tentang anggota terbabit, khususnya yang melibatkan anggota tentera menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak kami untuk mengesannya.

“Program JPP ini bertujuan menghargai pergorbanan anggota terlibat yang terbunuh ketika bertempur dengan pengganas komunis, jadi kubur pejuang yang dikenal pasti kami naik taraf seperti tukar batu nisan baharu, pasang pagar besi tahan karat dan letak papan tanda,” katanya kepada Bernama selepas menziarahi pusara Allahyarham Renjer Wan Hassan Idris di Tanah Perkuburan Islam Tok Gong, Kampung Baharu, di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut Husaimi Hussin yang mempunyai pertalian darah dengan Allahyarham Wan Hassan.

Saharudin berkata terdapat kubur pejuang yang sebelum ini dalam keadaan kurang sempurna, selain masyarakat sekitar tidak mengetahui adanya kubur pahlawan negara yang menentang pengganas komunis disemadikan di kampung mereka.

“Ramai juga perajurit negara yang terkorban, tetapi tidak memperoleh pingat keberanian, jadi langkah ini antara penghargaan yang mampu dilakukan PVATM selain memberikan gambaran kepada masyarakat setempat, khususnya golongan muda supaya mereka tahu bahawa nikmat kehidupan hari ini ialah hasil pengorbanan pejuang yang terkorban. Malah, kubur pejuang itu ada di kampung mereka,” katanya.

Terdahulu, Saharudin turut menziarahi pusara seorang lagi pejuang kemerdekaan, Allahyarham Koperal Salleh Embong di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, di sini.

Beliau berkata di Terengganu, PVATM setakat ini berjaya mengenal pasti dua kubur pejuang negara yang terkorban ketika bertempur, iaitu Allahyarham Wan Hassan dan Allahyarham Salleh.

“Kedua-dua mereka daripada Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (RRD) terbunuh dalam kejadian serangan hendap oleh pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Jalan Lundu–Biawak, Sarawak pada 26 Mac 1972 yang turut mengorbankan 13 anggota yang lain,” katanya.

Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan program JPP, beliau meminta waris kepada pejuang yang terkorban ketika bertempur agar menyalurkan maklumat kepada PVATM untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan