Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka stabil pada sekitar paras 1,600 minggu depan apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data utama luaran.
Ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata para pelabur akan memantau rapat pengumuman anggaran ketiga dan terakhir data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua Amerika Syarikat (AS) bagi mencari petunjuk momentum ekonomi negara itu.
“Data itu juga mungkin mempengaruhi hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.
Data tersebut dijadual diumumkan pada 25 Sept, 2025.
Sepanjang minggu dagangan singkat ini dari 17 hingga 19 Sept, pasaran ditutup kebanyakannya tinggi seiring dengan pergerakan di pasaran tunai pendasar.
Bursa Malaysia ditutup pada 15 Sept (Isnin), iaitu cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 Sept (Selasa).
Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta September 2025 meningkat 14.5 mata kepada 1,600.0, Oktober 2025 naik 11.5 mata kepada 1,596.0, Disember 2025 menokok 12.0 mata kepada 1,591.5, dan Mac 2025 menambah 10.5 mata kepada 1,571.0.
Jumlah dagangan bagi minggu ini meningkat kepada 20,473 lot daripada 20,086 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menokok kepada 46,066 kontrak daripada 41,317 kontrak.
Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI susut 1.90 mata kepada 1,598.23 daripada 1,600.13 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial