CYBERJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Pertandingan Inovasi Pelajar RekaRangers 2025 menjadi platform baharu mencungkil dan memupuk bakat inovasi dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya saing dalam ekonomi digital.
Program sulung anjuran Cyberview Sdn Bhd, sempena Cyberjaya RekaFest 2025 itu menarik lebih 180 penyertaan sekolah rendah dan menengah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata RekaRangers bukan sekadar pertandingan, malah platform untuk menyemai minat jangka panjang pelajar dalam inovasi, teknologi dan keusahawanan.
“Sebab itu kami cipta acara RekaRangers ini supaya kami dapat menyebarkan semangat inovatif ini dalam kalangan generasi muda di Malaysia, bukan sahaja di Cyberjaya tetapi di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata program itu juga menjadi pintu masuk awal kepada generasi muda menceburi bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), industri semikonduktor, teknologi hijau dan kelestarian.
“Idea-idea menarik yang disampaikan oleh pelajar kami mencerminkan kedua-dua kreativiti dan keazaman untuk menangani cabaran dunia sebenar.
“Ini adalah pemikiran ke hadapan yang akan memacu agenda inovasi Malaysia, dan Cyberjaya berbangga untuk menyediakan platform bagi tujuan itu,” katanya.
SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu dinobatkan juara kategori sekolah menengah melalui projek Rebit (Reinforced Bitumen), manakala Sekolah Tinta, Shah Alam memenangi kategori sekolah rendah dengan inovasi Eco Wudhu iaitu sistem kitar semula air wuduk dan air hujan.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau turut merasmikan Pusat Latihan AKSADRON iaitu pusat latihan dron berstruktur pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada 2023.
AKSADRON telah melatih lebih 500 pengendali dron, sekali gus mengukuhkan Cyberjaya sebagai hub teknologi dan sukan dron berprestasi tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial