KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah sedikit, seiring prestasi serantau, berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana dalam kaunter wajaran tinggi terpilih.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.20 mata kepada 1,598.73 daripada 1,598.93 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi sedikit pada 1,598.99 dan bergerak dalam julat 1,595.68 hingga 1,600.40 sepanjang sesi pagi.
Pasaran, secara keseluruhan adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 435 berbanding 429, manakala 465 kaunter tidak berubah, 1,319 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.19 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam aliran yang lebih kukuh, disokong oleh petunjuk positif daripada prestasi Wall Street semalaman, susulan kitaran penurunan kadar faedah Amerika Syarikat yang dijangka meningkatkan kecairan dalam pasaran sedang pesat membangun.
“Namun begitu, kami menjangkakan minat terhadap syarikat berorientasikan eksport akan lebih rendah berikutan persekitaran tarif semasa dan kelemahan dolar AS,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.85 dan CIMB turun lima sen kepada RM7.27, manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.26, Tenaga menokok 16 sen kepada RM13.44, and IHH naik empat sen kepada RM7.35.
Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan TWL tidak berubah masing-masing pada satu sen dan tiga sen, manakakala SC Estate dan Tanco masing-masing menokok setengah sen kepada satu sen dan 84.5 sen dan VS Industry manokok satu sen kepada 56 sen.
Kunter rugi termasuk Petronas Dagangan, susut 72 sen kepada RM22.22, dan Sunway Construction, turun 14 sen kepada RM6.21. KL Kepong turun 12 sen kepada RM20.08, Concrete Engineering merosot 10 sen kepada RM1.07, dan Formosa turun sembilan sen kepada RM1.57.
Sementara itu, kaunter untung termasuk Nestle naik 68 sen kepada RM95.68, MPI menokok 36 sen kepada RM28.90, UMC meningkat 33 sen kepada RM3.66, Fraser and Neave naik 28 sen kepada RM27.08 dan Petronas Gas menokok 26 sen kepada RM18.54.
Bagi pasaran lebih meluas, Indeks FBM Emas naik 14.35 mata kepada 11,892.26, Indeks FBMT 100 menokok 3.25 mata kepada 11,643.50 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat kepada 10.61 mata kepada 11,925.71.
Indeks FBM 70 menokok 25.52 mata kepada 16,705.27, manakala Indeks FBM ACE meningkat 22.95 mata kepada 4,894.63.
Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.29 mata kepada 166.98, Indeks Tenaa turun 1.49 mata kepada 751.56, Indeks Perladangan merosot 15.21 mata kepada 7,717.36 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 31.45 mata kepada 18,065.51.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial