KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 23 Mei lepas diyakini akan memperkukuh peranan jabatan berkaitan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kepakaran Ahmad Fauwaz dalam bidang usul fiqh, fiqh muamalat, fiqh perubatan serta kefahaman fiqh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata sebagai ilmuwan, Ahmad Fauwaz sering muncul dalam media dan forum ilmiah serta dikenali sebagai tokoh yang mampu menjelaskan isu-isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan bersifat mendidik.
“Pelantikan ini telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah (Ahmad Fauwaz) dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga Allah SWT memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Fauwaz dan berharap beliau mampu mengangkat lagi martabat institusi fatwa serta memperkukuh peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam menyampaikan panduan yang tuntas, adil dan mendamaikan.
“Wilayah Persekutuan, sebagai jantung pentadbiran negara dan wajah kepelbagaian umat, memerlukan seorang mufti yang bukan sahaja faqih dalam hukum, tetapi juga peka terhadap cabaran zaman.
“Semoga Allah SWT sentiasa membimbing langkah beliau dalam memikul amanah besar ini, menjunjung kebenaran dengan adab, dan memperteguh kefahaman Islam yang menyatukan ummah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Fauwaz merupakan seorang tokoh ilmuwan Islam yang prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir (2000-2004) sebelum menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta' al-Misriyyah (2005-2008) dan turut memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya (2017) dan pensijilan antarabangsa seperti Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh AAOIFI.
Beliau juga aktif di pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP, institusi kewangan dan akademik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial