DUNIA > BERITA

Lawatan Bersejarah Macron Perkukuh Perkongsian ASEAN-Perancis

29/05/2025 05:29 PM

JAKARTA, 29 Mei (Bernama) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Rabu mengadakan lawatan bersejarah ke Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta Selatan, sekali gus menandakan satu detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan antara Perancis dan blok serantau Asia Tenggara itu.

Lawatan itu turut bersempena ulang tahun kelima Perkongsian Pembangunan ASEAN-Perancis, yang menekankan komitmen berterusan Paris untuk mempererat hubungan dengan ASEAN.

Menurut Sekretariat ASEAN, Perancis secara rasmi dianugerahkan status Rakan Pembangunan ASEAN pada 2020, menzahirkan hasrat negara itu untuk memperdalam kerjasama dengan rantau ini.

Macron disambut oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, sebagai sebahagian daripada jelajah serantaunya yang turut merangkumi Vietnam, Indonesia dan Singapura.

“Dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, @ASEAN, kami berkongsi matlamat yang sama: keamanan dan kemakmuran untuk rakyat dan rantau kami,” tulis Macron di platform X.

“Terima kasih, Setiausaha Agung Kao Kim Hourn, atas sambutan anda dan perbincangan yang membina,” tambah beliau.

Perancis melihat Indo-Pasifik sebagai penting kepada masa depan bersama rantau ini dan dunia, terutamanya mengenai cabaran global seperti perubahan iklim, pembangunan ekonomi dan keselamatan.

Pada Isnin, Macron turut menyatakan di platform X bahawa melalui kerjasama kukuh dan inisiatif konkrit dalam bidang pertahanan, inovasi, peralihan tenaga dan pertukaran budaya, Perancis komited untuk menjadi rakan yang boleh dipercayai dan penghubung yang menggalakkan keamanan serta dialog dalam hab utama perdagangan dan teknologi global ini.

Lawatan rasmi tiga hari beliau ke Indonesia, yang bersempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Indonesia-Perancis, berakhir pada Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan