DUNIA > BERITA

Rusia Tawar Bertemu Ukraine Di Istanbul Pada 2 Jun - Lavrov

29/05/2025 05:19 PM

MOSCOW, 29 Mei (Bernama-TASS) -- Rusia menawarkan untuk mengadakan pertemuan dengan Ukraine di Istanbul pada 2 Jun bagi membentangkan memorandum yang bertujuan menangani punca utama krisis yang sedang berlaku, kata Menteri Luar Sergey Lavrov.

Beliau berkata delegasi Rusia yang diketuai Pembantu Presiden Vladimir Medinsky bersedia untuk berunding dengan pihak Ukraine serta memberikan penjelasan yang diperlukan semasa pusingan kedua rundingan secara langsung, lapor agensi berita TASS.

“Seperti yang telah dipersetujui, pihak Rusia telah merangka memorandum berkaitan dengan segera, yang menggariskan pendirian kami mengenai semua aspek bagi mengatasi punca utama krisis secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

“Delegasi kami yang diketuai Vladimir Medinsky bersedia untuk membentangkan memorandum ini kepada delegasi Ukraine dan memberikan penjelasan yang diperlukan di Istanbul pada Isnin depan, 2 Jun,” tambah beliau.

Terdahulu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata pertemuan secara peribadi antara Presiden Vladimir Putin dan Presiden Volodymyr Zelensky masih boleh dilakukan, namun perlu didahului dengan kemajuan dalam rundingan antara Moscow dan Kyiv.

“Tiada perubahan dalam pendirian mengenai kemungkinan pertemuan sedemikian,” katanya kepada pemberita apabila ditanya oleh TASS.

Namun, Peskov menegaskan bahawa sebarang pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu perlu berasaskan kepada persetujuan konkrit yang dicapai semasa rundingan, dan bukannya diadakan secara bersendirian.

-- BERNAMA-TASS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan