ISTANBUL, 29 Mei (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Palestin Hamas pada Rabu mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan dengan utusan Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah Steve Witkoff mengenai rangka kerja umum bagi pelaksanaan gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami telah mencapai persetujuan mengenai rangka kerja umum bersama Witkoff yang memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Gaza, serta kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Persetujuan itu turut merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa profesional bagi menguruskan hal ehwal Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dilaksanakan, menurut kumpulan berkenaan.
Hamas turut menyatakan kesediaan untuk membebaskan 10 tawanan yang masih hidup serta menyerahkan beberapa mayat tawanan lain sebagai pertukaran kepada sejumlah tahanan Palestin yang akan dipersetujui bersama, di bawah jaminan pihak pengantara.
“Kami kini di peringkat akhir untuk menghantar dokumen syarat baharu yang diharap dapat disampaikan hari ini,” kata Witkoff kepada pemberita di Rumah Putih.
“Saya amat optimis terhadap penyelesaian jangka panjang -- gencatan senjata sementara dan resolusi damai jangka panjang terhadap konflik ini,” tambahnya.
Witkoff berkata Presiden AS Donald Trump akan meneliti cadangan itu sebaik sahaja ia diterima.
Setakat ini, belum ada sebarang komen daripada pengantara Mesir atau Qatar berhubung pengumuman oleh Hamas itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial