Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Tegas Tolak Usaha Normalisasi Budaya Songsang - Mohd Na'im

28/05/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) sama ada secara halus atau terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta berpegang kepada nilai budaya timur yang luhur, sebarang bentuk usaha yang dilihat cuba menormalisasikan gaya hidup songsang adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.

"Saya memandang serius laporan berkenaan penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month seperti yang tular melalui platform media sosial baru-baru ini.

"Tindakan penganjuran program sebegini, walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menyarankan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia agar segera menjalankan siasatan terhadap penganjuran program tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran undang-undang.

Beliau turut menggesa pihak penganjur menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan nilai moral masyarakat.

Ad Banner

“Agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri turut diseru untuk bersedia memainkan peranan penguatkuasaan khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam," katanya.

Pada masa sama, Mohd Na’im menyeru semua pihak untuk bersama-sama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat di Malaysia daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak serta keharmonian negara. 

“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat,” katanya sambil menambah budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di bumi Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan