KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) disambut baik pengamal media yang yakin pengalaman luas beliau dalam bidang kehakiman mampu memperkukuh kebebasan, integriti dan kredibiliti industri media negara.
Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong berkata latar belakang perundangan yang dimiliki Nallini mampu memberi asas kukuh kepada kepimpinan MMM dalam memastikan keputusan dan dasar badan itu berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan serta akauntabiliti.
"Seorang bekas hakim yang berwibawa membawa perspektif yang bebas daripada kepentingan politik atau komersial sekali gus menjamin keputusan dan dasar MMM akan berlandaskan prinsip keadilan serta kepentingan awam.
"Ini memberi keyakinan (kepada kita) bahawa MMM akan dipandu oleh nilai integriti yang tinggi dan pandangan yang seimbang dalam menangani isu-isu berkaitan media," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pendekatan berteraskan integriti akan membantu memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan media sebagai institusi penting dalam sistem demokrasi negara.
Bagi tokoh wartawan negara Datuk A Kadir Jasin, pelantikan Nallini menepati aspirasi asal penubuhan majlis itu yang mahukan MMM diterajui individu bebas, berkecuali dan berwibawa.
Beliau berkata idea itu telah lama diperjuangkan termasuk sejak cadangan penubuhan Pertubuhan Pengarang-Pengarang Akhbar Malaysia (ONE) pada tahun 1980-an.
"Itu juga pendirian saya ketika melancarkan sidang pleno penubuhan MMM pada 2018 bersama dengan Menteri Komunikasi waktu itu, Gobind Singh Deo dalam kapasiti saya sebagai Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita bukan sahaja mahu MMM bebas tetapi dilihat serta diyakini bebas... pelantikan seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan tidak syak lagi memenuhi prasyarat itu," katanya.
A.Kadir juga berkata dengan kerjasama semua pihak, beliau yakin MMM di bawah kepimpinan Nallini mampu memperkukuh kebebasan dan profesionalisme media di negara ini.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia Mohamad Fauzi Ishak pula berkata pelantikan itu turut membuka ruang ke arah memperkasakan peranan majlis berkenaan termasuk keperluan meneliti pindaan Akta MMM bagi membolehkan peruntukan kuasa yang lebih jelas dalam melaksanakan fungsi badan itu.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan MMM dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam menegakkan hak dan keadilan kepada ahli selain mencari penyelesaian lebih tuntas terhadap sebarang aduan serta isu yang membelenggu industri media.
“MMM sudah menerima pelbagai aduan daripada pengamal media namun sebahagian daripadanya tidak dapat diselesaikan atau diambil tindakan kerana tiada peruntukan atau punca kuasa yang jelas,” katanya.
Mohamad Fauzi juga berkata pelantikan Nallini turut bertepatan dengan keperluan semasa industri media yang kini berdepan cabaran semakin kompleks termasuk penularan berita palsu dan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata pengalaman, integriti dan kewibawaan Nallini diyakini mampu membawa nafas baharu kepada MMM dalam memastikan ekosistem media kekal sihat, profesional dan berakauntabiliti.
"Kita memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami cabaran industri tetapi juga mampu mempertahankan prinsip kebebasan media dan pada masa sama, memastikan tahap akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan pengamal media.
"Yang penting, MMM perlu kekal sebagai sebuah institusi yang bebas, tidak memihak dan tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkepentingan agar keyakinan industri dan masyarakat terhadap peranannya dapat terus dipertingkat," katanya.
Terdahulu, MMM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Nallini sebagai Pengerusi MMM sekali gus menerajui badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan di bawah Akta MMM 2025.
Pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga MMM dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lepas.
-- BERNAMA