JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Arak, Anak Pokok Seludup Bernilai RM413,500

17/06/2026 01:15 AM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dan 1,600 anak pokok buah-buahan dianggar bernilai RM413,500 di Rantau Panjang dan Pasir Mas hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kejayaan itu dicapai menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan anggota Batalion 8 PGA.

Beliau berkata dalam kes pertama, anggota PGA yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Cabang Empat Salam, Rantau Panjang menahan sebuah Toyota Hilux dinaiki dua lelaki tempatan berusia 33 dan 23 tahun pada 6.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan beberapa kotak dan karton minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

“Siasatan awal mendapati minuman keras itu dibeli di Thailand sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Kedap, Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata rampasan dianggarkan bernilai RM103,500 termasuk Toyota Hilux itu manakala suspek mendakwa bekalan minuman keras berkenaan adalah untuk kegunaan satu majlis perkahwinan di Kampung Chabang Empat, Wakaf Bharu, Tumpat, bukannya untuk jualan.

Beliau berkata 1,600 anak pokok itu pula dirampas selepas anggota PGA menahan sebuah lori dipandu lelaki berusia 23 tahun bersama kelindan berumur 60 tahun di Kampung Lalang Pepuyu, Pasir Mas pada 12.30 tengah hari.

“Pemandu itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan dibawa dan siasatan mempercayai anak pokok itu dibawa masuk dari negara jiran yang disyaki berisiko membawa serangga perosak yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara,” katanya dan menambah anak pokok dan lori dirampas dianggarkan bernilai RM310,000.

Kes melibatkan minuman keras, katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala anak pokok di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569409