KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Nurul Amni Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategi, Perancangan dan Transformasi (CSFTO) KPJ Healthcare Bhd (KPJ Healthcare) untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan strategik kumpulan bagi memajukan sistem kesihatan dan agenda pertumbuhan jangka panjangnya.
KPJ Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan sebagai CSFTO, Nurul Amni akan menerajui fungsi strategi, perancangan dan transformasi kumpulan dengan tumpuan kepada mengukuhkan pelaksanaan strategik, prestasi organisasi dan penyampaian inisiatif transformasi KPJ Healthcare.
Menurut kenyataan itu, sebelum menyertai KPJ Healthcare, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan yang menumpukan kepada prestasi, transformasi dan pelaksanaan strategik organisasi.
“Nurul Amni memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam strategi, transformasi, tadbir urus dan pengurusan prestasi merentasi institusi terkemuka Malaysia, termasuk Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Danajamin Nasional Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.
“Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerajui inisiatif yang merangkumi perancangan strategik, transformasi organisasi, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang. Baru-baru ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan CGC dengan portfolionya merangkumi strategi, pengurusan program dan kecemerlangan operasi,” maklum kenyataan itu.
Menurut KPJ Healhcare, Nurul Amni juga merupakan Felo Akauntan Bertauliah (ICAEW), Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Ahli Institut Pengarah Korporat Malaysia.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian Kelas Pertama) dalam Perakaunan dan Kewangan daripada University of Southampton, United Kingdom.
Pelantikan beliau mencerminkan fokus berterusan KPJ Healthcare dalam membina keupayaan kepimpinan yang menyokong pelaksanaan strategik, transformasi organisasi dan kemampanan jangka panjang, selaras dengan visi ‘Care for Life’ (Penjagaan Sepanjang Hayat) kumpulan itu.
Sementara itu, presiden dan pengarah urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan menerusi kenyataan tersebut berkata Nurul Amni mempunyai pengalaman luas dalam strategi, tadbir urus dan transformasi organisasi, dengan rekod prestasi kukuh dalam memacu pelaksanaan strategik merentasi organisasi yang kompleks.
“Pelantikan beliau mengukuhkan pasukan kepimpinan kami dalam usaha kami untuk terus memajukan sistem kesihatan KPJ dan mencapai keutamaan pertumbuhan jangka panjang kami.
"Pengalaman beliau dalam menterjemahkan strategi kepada hasil ketara akan menyokong usaha kami untuk memperkukuh prestasi organisasi, memacu transformasi dan mewujudkan nilai yang mampan untuk pesakit, komuniti dan pemegang saham," katanya.
-- BERNAMA