Daripada Nurul Hanis Izmir
KAZAN (Rusia), 16 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 10.20 malam waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia pada Rabu).
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai serta delegasi Rusia diketuai Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, yang diiringi oleh Menteri Digital Tatarstan Ilya Nachvin, Datuk Bandar Kazan Ilsur Metshin dan para pegawai Jabatan Protokol Negara berkenaan.
Anwar turut diraikan dengan sambutan tradisional masyarakat Tatar Rusia dengan dihidangkan manisan chak-chak dan roti karavay, simbol adat turun-temurun bagi memuliakan tetamu.
Menurut Wisma Putra, sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut akan memberi peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lepas dan merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia.
“Perbincangan dijangka menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama praktikal dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan dan interaksi langsung antara sesama rakyat,” katanya.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan mengenai Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan dan Pelan Tindakan Komprehensif untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030.
Menurut Wisma Putra, dokumen tersebut akan menjadi panduan kerjasama ASEAN-Rusia bagi tahun-tahun yang akan datang dan menyokong usaha untuk membina perkongsian yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.
"Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, mengetengahkan Kepusatan ASEAN dan memajukan kerjasama praktikal dengan Rakan Dialog dalam persekitaran global yang semakin kompleks," maklum kenyataan itu.
Semasa di Kazan, Anwar dijadualkan bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov serta mengadakan pertemuan dengan rakan anggota ASEAN untuk membincangkan hubungan dua hala dan isu yang menjadi perhatian bersama.
Antara agenda yang akan diberi tumpuan oleh Perdana Menteri ialah menggalakkan dialog dan keamanan, menyokong daya tahan ekonomi, memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan serta mempererat hubungan antara rakyat.
Lawatan ke Kazan adalah kunjungan ketiga Anwar ke Rusia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Kali pertama Perdana Menteri berkunjung ke Rusia ialah pada September 2024 bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur di Vladivostok disusuli lawatan rasmi ke Moscow pada Mei 2025, yang menyaksikan beliau mengadakan perbincangan dengan Putin mengenai pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.
-- BERNAMA