AM

Infrastruktur Strategik Pulau Layang-layang Terus Diperkukuh

17/06/2026 01:12 AM

PULAU LAYANG-LAYANG, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh infrastruktur strategik di Pulau Layang-Layang merangkumi kemudahan operasi, logistik, komunikasi dan sistem sokongan bagi memastikan kesiagaan Stesen LIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berada pada tahap terbaik.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu penting kerana Pulau Layang-Layang ialah antara kawasan strategik negara di Laut China Selatan selain menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Pulau Layang-Layang, yang terletak kira-kira 270 kilometer dari Labuan dan 280 kilometer dari Sabah, menempatkan Stesen LIMA TLDM, sebuah pos hadapan negara di Laut China Selatan yang ditubuhkan pada 17 April 1984.

Stesen berkeluasan 35 hektar itu berperanan penting dalam menyokong operasi keselamatan, pemantauan dan pertahanan negara di Gugusan Semarang Peninjau.

“Kawasan ini merupakan kawasan di mana berlaku pertindihan tuntutan dari negara China, Vietnam serta Filipina, dan kehadiran ini adalah untuk mengukuhkan lagi komitmen kerajaan bagi memastikan soal kedaulatan, keselamatan, soal perkara-perkara sampingan yang boleh dilakukan di kawasan ini akan terus kita lakukan secara berkala.

“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan negara kerana ini adalah barisan hadapan kita dan atas sebab itulah kita hadir untuk tunjukkan komitmen kehadiran ini adalah secara berterusan, ia adalah sebagai satu usaha kita untuk tunjukkan bahawa ini kawasan kita dan kita akan mempertahankan kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen LIMA TLDM hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata kerajaan juga akan memasang radar pertahanan udara di Pulau Layang-Layang bagi meningkatkan lagi keupayaan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan selain radar maritim sedia ada yang digunakan untuk mengesan pergerakan kapal.

“Jadi, itulah antara tujuan lawatan pada hari ini dan saya percaya apa-apa keperluan ataupun usaha-usaha akan terus kita lakukan antaranya kita akan pasang sebuah radar, iaitu radar pertahanan udara di sini.

“Sekarang, kita memang dah ada radar untuk maritim mengesan kapal... lepas ni, kita akan memasang radar pertahanan udara untuk meningkatkan lagi kawalan kita untuk kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja penyediaan tapak bagi radar itu akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sistem berkenaan siap sepenuhnya, dijangka pada 2029.

Mohamed Khaled berkata Stesen LIMA TLDM bukan sahaja berperanan mempertahankan kedaulatan negara di Gugusan Semarang Peninjau malah membantu pengumpulan maklumat dan menyokong keperluan logistik kapal TLDM serta agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata peningkatan kemudahan di pulau itu juga meliputi keperluan asas dan kebajikan anggota yang bertugas termasuk bekalan air, elektrik, makanan serta keselesaan tempat tinggal bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih fokus dan berkesan.

Mohamed Khaled juga berkata Pulau Layang-Layang akan terus dibangunkan sebagai benteng hadapan negara di Laut China Selatan melalui pengukuhan kehadiran secara berterusan, tanpa provokasi dan tanpa meningkatkan ketegangan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata usaha memperkukuh keupayaan di pulau itu turut melibatkan penggunaan sistem tanpa pemandu dan teknologi baharu bagi meningkatkan kesedaran domain maritim negara khususnya dalam mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di perairan Malaysia.

Mohamed Khaled berkata selain aspek pertahanan dan keselamatan, Pulau Layang-Layang turut mempunyai kepentingan dalam bidang penyelidikan khususnya berkaitan ekosistem marin, biodiversiti dan kelestarian terumbu karang di kawasan Laut China Selatan.

Katanya potensi penyelidikan itu perlu dimanfaatkan secara bersepadu bersama-sama agensi berkaitan dan institusi pengajian tinggi kerana kawasan berkenaan bukan sahaja penting dari sudut kedaulatan negara malah mempunyai nilai strategik dalam pemuliharaan alam sekitar, perikanan serta pembangunan ekonomi maritim.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569405