KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengurus Pelaburan Hartanah (REIT) Malaysia (MRMA) melantik Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd Derek Teh Wan Wei sebagai pengerusi persatuan itu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) baru-baru ini.
Menurut MRMA pelantikan itu adalah susulan tamatnya tempoh perkhidmatan bekas pengerusi Leong Kit May daripada Axis REIT Managers Bhd yang menggalas tanggungjawab itu sejak 3 Jun 2024 hingga 11 Jun 2026.
Teh berkata sebagai suara bersama pengurus REIT di Malaysia, MRMA akan mewakili kepentingan ahlinya dengan bekerjasama rapat bersama-sama kerajaan dan pengawal selia bagi memastikan peraturan yang berfungsi, struktur berdaya maju dan penyelarasan percukaian.
“Kami juga akan menggalakkan dan mempromosikan industri REIT untuk meletakkan M-REIT sebagai kelas aset pendapatan yang diiktiraf untuk pelabur Malaysia dan antarabangsa, dan memperkukuh daya saing M-REIT di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
MRMA memaklumkan AGM itu turut menyaksikan pelantikan semula Zuhairy Md Isa daripada AmREIT Managers Sdn Bhd sebagai naib pengerusi selain Yong Su Lin daripada CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd yang baru dilantik sebagai naib pengerusi.
Menurutnya Datuk Stewart Labrooy daripada Alpha REIT Managers Sdn Bhd telah dilantik semula sebagai setiausaha kehormat manakala Hafidz Atrash Kosai Mohd Zihim daripada Pelaburan Hartanah Nasional Bhd akan meneruskan tanggungjawab sebagai bendahari kehormat untuk tahun kedua berturut-turut.
-- BERNAMA