KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Organisasi media perlu mempertahankan kredibiliti dan integriti sebagai aset paling penting, bagi memastikan kelangsungan serta kepercayaan masyarakat dalam era digital yang mencabar.
Timbalan Ketua Pengarang Urusan Kumpulan (Hal Ehwal Berita) Media Prima Bhd Farrah Naz Abdul Karim berkata walaupun media kini berdepan tekanan memenuhi tuntutan komersial, aspek kredibiliti tidak boleh dikompromi kerana ia menentukan tahap kepercayaan rakyat.
“Sepanjang 26 tahun saya dalam industri ini, apa yang membuat suatu media house bertahan ialah kredibiliti. Sekali kita hilang kredibiliti itu, sangat sukar untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat,” katanya semasa menjadi tetamu program Jendela Fikir sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 terbitan Bernama Radio, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), turut menyarankan pihak yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat agar lebih responsif dalam berinteraksi dengan media, memandangkan pendekatan berdiam diri tidak lagi sesuai dengan landskap komunikasi masa kini.
Mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), Farrah Naz berkata teknologi itu banyak membantu operasi media termasuk analisis trend audiens, penghasilan kandungan dan memastikan konsistensi penyampaian maklumat, namun tidak mampu menggantikan peranan wartawan di lapangan.
“AI tidak boleh berada di lokasi. Bila tidak berada di lokasi, ia tidak dapat merasai apa yang sedang berlaku dan tidak mempunyai empati serta pertimbangan editorial yang diperlukan dalam proses pemberitaan,” katanya.
Farrah Naz turut menekankan cabaran lambakan maklumat tidak sahih, berita palsu dan teknologi deepfake yang menuntut usaha meningkatkan literasi media dalam kalangan masyarakat diperkasakan.
Selain itu, beliau berkata kewartawanan penyiasatan perlu terus diperkukuh, bagi memastikan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat dan negara mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, Farrah Naz menasihatkan wartawan muda dan pelajar komunikasi supaya melengkapkan diri dengan kemahiran praktikal serta penguasaan teknologi baharu, sebelum memasuki industri media.
Beliau berkata graduan tidak boleh hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, sebaliknya perlu menawarkan kemahiran tambahan yang mampu memberi nilai tambah kepada organisasi media dalam persekitaran industri yang kompetitif.
Mengulas tema HAWANA 2026, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Farrah Naz berkata simbol jambatan pada logo sambutan itu menggambarkan peranan media sebagai penghubung antara rakyat dan pembuat dasar, melalui penyampaian maklumat yang tepat.
Sambutan kemuncak HAWANA 2026 akan diadakan pada 20 Jun ini dengan perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth .
Lebih 1,200 tetamu termasuk pengamal media, delegasi ASEAN dan jemputan rasmi dijangka hadir pada kemuncak sambutan itu.
-- BERNAMA