KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Hasrat Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Hoki Lelaki FIH 2026 tidak kesampaian selepas dibelasah New Zealand 5-1 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Cape Town, Afrika Selatan, hari ini.
Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan prestasi Speedy Tigers terus merosot selepas memulakan kempen dengan cemerlang menerusi kemenangan 5-2 ke atas Scotland sebelum tewas 1-4 kepada Jepun.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal di tempat ketiga dengan tiga mata dan tidak lagi berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik kumpulan untuk layak ke separuh akhir.
New Zealand yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan sembilan mata, manakala Jepun di tempat kedua dengan tujuh mata.
Korea Selatan berada di kedudukan keempat dengan satu mata, sementara Scotland menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata.
New Zealand, selaku pasukan ranking ke-11 dunia, mempamerkan penguasaan awal apabila membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Kane Russell pada minit ke-18.
Thomas Dylan kemudian menambah gol padang tiga minit kemudian untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0.
Russell sekali lagi menemui sasaran menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 bagi melebarkan kelebihan New Zealand, sebelum Isaac Houlbrooke menjaringkan gol keempat pada minit ke-44 ketika benteng pertahanan Malaysia terus bergelut mengekang asakan lawan.
Jonty Elmes kemudian menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-51 sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol sagu hati buat Malaysia menerusi gol padang pada minit ke-55.
Malaysia akan menamatkan kempen dengan menentang Korea Selatan esok.
-- BERNAMA