Oleh S.Chandravathani & N.Sevagamy
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menjawab panggilan telefon, menyambut tetamu serta mengendalikan pertanyaan pelanggan di sebuah syarikat perkapalan di Klang sudah menjadi rutin harian bagi R. Yogeswaran, seorang penyambut tetamu yang dilahirkan tanpa tangan, namun berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan penolakan sebelum membina kehidupan berdikari.
Lelaki berusia 34 tahun dari Shah Alam itu berkata peluang pekerjaan yang diperoleh telah mengembalikan keyakinan dirinya serta memberi makna baharu dalam hidup selepas sekian lama bergelut mencari pekerjaan akibat kekurangan fizikal yang dialami sejak lahir.
Dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada bahagian anggota atas, anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah menjadikan keadaan dirinya sebagai penghalang untuk membina masa depan.
Sejak 2019, beliau berkhidmat di Maritime Network Sdn Bhd selepas ditawarkan peluang oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan Datuk Seri R. Jeyenderan.
Yogeswaran berkata meskipun tidak menamatkan pendidikan formal akibat keadaan dirinya, ibu bapanya tetap menghantarnya ke kelas tuisyen, membolehkannya menguasai kemahiran komunikasi dan penulisan dengan baik.
Bagaimanapun, perjalanan hidupnya tidak mudah apabila berulang kali ditolak dalam permohonan kerja dan temu duga dengan sebahagian majikan gagal melihat keupayaannya di sebalik kekurangan yang dimiliki.
Penolakan berterusan itu secara perlahan-lahan menjejaskan keyakinan dirinya sehingga hampir berputus asa untuk meneruskan usaha mencari pekerjaan.
Namun, pertemuan secara kebetulan dengan Jeyenderan di sebuah acara menjadi titik perubahan dalam hidupnya. Perbualan ringkas membawa kepada jemputan ke pejabat syarikat bagi perbincangan lanjut, meskipun pada awalnya beliau masih berhati-hati akibat pengalaman silam yang mengecewakan.
“Saya sudah terlalu kerap ditolak sehingga tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Tetapi jauh di sudut hati, saya tetap berharap ada yang percaya dan memberi peluang untuk membuktikan kemampuan diri,” katanya.
Harapan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau ditawarkan jawatan dengan gaji permulaan RM1,500 serta elaun pengangkutan RM500 bagi menampung tambang teksi harian dari Shah Alam ke Klang.
Menurutnya persekitaran kerja yang menyokong dan inklusif membantu beliau membina semula keyakinan serta rasa tujuan dalam kehidupan.
Kini, Yogeswaran berbangga kerana mampu menyara diri dan membantu keluarga hasil usaha sendiri.
“Setiap hari saya datang bekerja dengan penuh makna kerana saya tahu saya juga menyumbang seperti orang lain. Saya kini boleh berdikari, membantu keluarga dan hidup lebih stabil. Perkara yang dulu saya anggap mustahil kini menjadi kenyataan. Saya juga sudah mampu membeli rumah dua tingkat di Setia Alam,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekerja Orang Kurang Upaya (OKU), S. Kuhan, 26, yang bertugas dalam bahagian operasi, telah berkhidmat selama tujuh tahun walaupun mengalami keterbatasan pergerakan pada tangan kanan dan kaki.
Beliau mengurus fail dan dokumen bagi memastikan rekod syarikat disusun dengan baik serta teratur, selain mengakui sokongan pihak syarikat banyak membantu perkembangan dirinya dari segi peribadi dan profesional.
Dalam pada itu, Jeyenderan berkata masih ramai golongan OKU berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan akibat stereotaip, salah tanggapan serta kekurangan kemudahan mesra OKU di tempat kerja.
“Golongan OKU sebenarnya mampu menyumbang secara setara apabila diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata budaya kerja inklusif bukan sahaja mengubah kehidupan individu terbabit, malah membantu membina masyarakat yang lebih prihatin dan memahami.
“Apabila masyarakat membuka lebih banyak ruang kepada OKU, ia bukan sahaja mengubah kehidupan mereka tetapi turut membentuk dunia yang lebih inklusif untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA