AM

Tiada Sekatan Terhadap Rumah Ibadat Bukan Islam Di Kawasan Komersial Di Selangor - Exco

23/05/2026 11:35 PM

SHAH ALAM,  23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor tidak menguatkuasakan atau melaksanakan garis panduan perancangan yang melarang rumah ibadat bukan Islam dibina di kawasan komersial, kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han.

Ng, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas bagi Hal Ehwal Bukan Islam (LIMAS) berkata semakan terhadap garis panduan tersebut akan dilakukan oleh kerajaan negeri dengan rundingan bersama persatuan agama, dan satu mesyuarat berkaitan perkara itu akan diadakan pada awal bulan depan.

“Kerajaan negeri komited dalam menyelesaikan hal penyelarasan pentadbiran dan teknikal ini melalui dialog yang konstruktif bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang progresif, adil dan inklusif untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng juga berkata tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil sepanjang semakan itu dijalankan.

Penjelasan tersebut dibuat bagi menjawab kebimbangan yang timbul baru-baru ini berhubung garis panduan PLANMalaysia Selangor mengenai rumah ibadat bukan Islam, khususnya berkaitan kelulusan permohonan akan datang bagi rumah ibadat bukan Islam di lot kedai kawasan komersial.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560794