Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 23 Mei (Bernama) -- Seorang jemaah haji lelaki Malaysia berusia 77 tahun meninggal dunia di sini pada Khamis akibat jangkitan kuman di kawasan perut (intra-abdominal sepsis).
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham dari Machang, Kelantan itu disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz pada 5.40 petang.
Menurut TH, Allahyarham ke Tanah Suci bersama isterinya dan merupakan jemaah daripada kumpulan KT50 yang menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer.
"Jenazah telah dibawa ke Masjidilharam untuk disembahyangkan selepas solat subuh semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Makkah," menurut kenyataan itu.
TH turut menasihati jemaah haji agar sentiasa menjaga kesihatan, mendapatkan rehat yang mencukupi serta segera mendapatkan rawatan di pusat perkhidmatan kesihatan TH sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sementara itu, kematian jemaah dari Machang itu menjadikan jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M meningkat kepada sembilan orang setakat ini.
-- BERNAMA