AM

JKM Sasar Laksana 266 Program Sihat Warga Emas, Terapi OKU Menerusi Rythm

23/05/2026 08:21 PM

MELAKA, 23 Mei (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan melaksanakan 266 program Sihat Warga Emas dan Terapi Orang Kelainan Upaya (OKU) menerusi Program Ritma Kehidupan Harmoni (Rythm) sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata program Sihat Warga Emas dan Terapi OKU masing-masing melibatkan 133 program itu dijangka memanfaatkan 13,300 individu dalam kalangan golongan berkenaan.

Beliau berkata program Rythm yang menerima peruntukan berjumlah RM5 juta di bawah inisiatif Belanjawan 2026 turut melibatkan pelaksanaan enam siri latihan mengikut zon yang akan memanfaatkan 2,900 peserta.

"Program Rythm bertujuan meningkatkan kesejahteraan warga emas dan OKU melalui pelaksanaan program kesihatan dan terapi di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Dalam Komuniti (PDK) serta institusi kebajikan JKM di seluruh negara.

"Program ini turut memberi penekanan terhadap aspek kesejahteraan sosial, penjagaan holistik dan pengukuhan hubungan antara generasi dalam usaha membentuk komuniti yang lebih prihatin, inklusif dan penyayang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU Zon Selatan sempena Program Rythm, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin negeri.

Che Murad Sayang berkata program Rythm melibatkan kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan serta perkhidmatan kebajikan.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja menyemai nilai ihsan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, tetapi juga memperkukuh sokongan komuniti terhadap warga emas dan OKU.

Program berkenaan juga, katanya menjadi platform bagi menyatupadukan masyarakat merentasi generasi, memperkukuh jaringan sokongan sosial serta membina masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan penyayang.

"Secara keseluruhan bagi Zon Selatan iaitu melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, JKM telah berjaya melaksanakan 12 daripada 13 program yang disasarkan bagi fasa pertama ini dan ia akan diperluas ke lima lagi zon lain iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Timur, Sabah dan Sarawak.

"Alhamdulillah, bagi Zon Selatan program terbabit telah memberikan manfaat kesihatan dan kesejahteraan terhadap 608 orang warga emas dengan penglibatan sukarelawan belia sebanyak 438 orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560773