SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan pelaksanaan Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) 2026 dalam usaha memperluas sokongan sedia ada bagi pembangunan kebajikan berterusan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata inisiatif di bawah Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS) itu merupakan penjenamaan semula Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi melaksanakan pembangunan OKU secara lebih menyeluruh serta berimpak tinggi.
Beliau berkata BRAIS 2026 melaksanakan beberapa penambahbaikan signifikan antaranya memperkenalkan kategori bantuan baharu, iaitu fasiliti tandas kediaman mesra OKU dengan bantuan sebanyak RM1,500 dan bantuan bagi ubat-ubatan atau makanan tambahan serta keperluan khas sebanyak RM1,200.
“Penambahan itu bertujuan memastikan kemudahan fasiliti dan keperluan asas kesihatan golongan OKU di kediaman mereka lebih terjaga dan selesa.
“Selain itu, had umur penerima manfaat kini ditingkatkan daripada 18 tahun sehingga 60 tahun dan ini membolehkan golongan dewasa OKU turut mendapat akses kepada bantuan peralatan, perubatan dan sokongan terapi yang diperlukan,” katanya dalam sidang media Pelancaran BRAIS 2026 dan Program HajiKids 2.0, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata selain kategori baharu, BRAIS 2026 turut mengekalkan sokongan sedia ada bagi bantuan yuran pusat terapi (RM1,200), peralatan khas (hingga RM3,000) dan yuran persekolahan pendidikan khas (RM120).
Selain itu, kaedah penghantaran dokumen sokongan bagi permohonan inisiatif itu dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian bagi mempercepat proses kelulusan, di samping memudahkan urusan ibu bapa dan penjaga.
Permohonan BRAIS 2026 akan dibuka bermula 1 Jun depan bermula 8.30 pagi hingga 5 petang, 22 Jun ini melalui laman sesawang rasmi www.yanis.org.my/brais.
Dalam perkembangan lain, Anfaal berkata sebanyak 2,500 kanak-kanak antara 4 hingga 12 tahun diraikan hari ini menerusi Program HajiKids 2.0, iaitu aktiviti pendekatan pendidikan Islam yang unik menerusi kaedah simulasi praktikal serta teknologi visual interaktif, yang memberikan pengalaman pembelajaran mendalam mengenai ibadah haji kepada anak-anak.
HajiKids 2.0 turut dilihat sebagai satu platform kerjasama yang sangat baik dalam usaha kerajaan negeri untuk mengarusperdanakan golongan OKU di Selangor.
“Semangat inklusiviti ini diterjemahkan secara nyata menerusi tajaan YANIS terhadap penyertaan 35 orang anak istimewa dari Pusat YANIS serta 18 orang peserta palsi serebrum dalam program ini,” katanya.
Di samping itu, Anfaal berkata YANIS berhasrat untuk meneroka kerjasama strategik jangka panjang bersama syarikat animasi terkemuka, Warnakala Studios dalam usaha memanfaatkan ekosistem digital popular seperti Didi & Friends dalam menjadi medium meningkatkan kesedaran awam secara lebih meluas melalui komunikasi mesra OKU.
-- BERNAMA