SUKAN

JDT Kekal Raja Piala Malaysia Empat Musim Berturut-turut

23/05/2026 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama menjuarai Piala Malaysia empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.

Dua jaringan skuad Harimau Selatan itu masing-masing dijaringkan Marcos Guilherme dan pemain gantian Arif Aiman Mohd Hanapi pada separuh masa kedua selepas babak pertama yang berlangsung sengit berkesudahan tanpa sebarang gol.

Pada pertembungan malam ini, JDT hampir membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Bergson Da Silva, namun percubaan jarak dekatnya berjaya diselamatkan penjaga gol Kuching City Muhammad Haziq Nadzli sebelum gol penyerang import dari Brazil itu dua minit kemudian dibatalkan kerana kekasaran.

Kuching City yang tidak hanya bertahan turut mencipta peluang berbahaya, namun Muhammd Ramadhan Saifullah Usman gagal menyempurnakan hantaran lintang Joao Pedro Da Silva Freitas dari sebelah kiri apabila percubaanya tersasar meskipun pintu gol sudah pun terhidang pada minit ke-19.

Muhammd Ramadhan sekali lagi menguji benteng JDT menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti, namun, percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-32.

Di penghujung separuh masa pertama, Muhammad Haziq terus menjadi watak penting Kuching City apabila bekerja keras menyelamatkan dua percubaan berturut-turut Ignacio Mendez sebelum menafikan percubaan susulan Bergson pada minit ke-45.

Mamasuki separuh masa kedua, Muhammad Haziq sekali lagi bertindak cemerlang apabila pantas menutup ruang untuk menggagalkan percubaan Oscar Arribas dari dalam kotak penalti pada minit ke-52.

Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak hampir mengejutkan JDT menerusi Jerome Mpacko Etame pada minit ke-55, namun percubaannya dalam situasi satu lawan satu tepat ke dakapan Ahmad Syihan.

Pasukan The Cats kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-61 selepas La’Vere Corbin-Ong menjatuhkan Muhammd Ramadhan di dalam kotak penalti, namun pemain itu gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila rembatannya tersasar ke kiri gawang JDT.

Stadium Nasional kemudian bergema dengan sorakan penyokong JDT apabila tonggak sensasi Arif Aiman membuat penampilan pertama selepas enam bulan berehat akibat kecederaan apabila dimasukkan menggantikan Muhammad Feroz Baharudin pada minit ke-65.

Selepas gagal menemui jaringan dalam tempoh panjang perlawanan, JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi Guilherme yang menerima hantaran Oscar Arribas sebelum melepaskan rembatan lambung dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Muhammad Haziq.

Arif Aiman kemudian mengesahkan kemenangan JDT pada minit ke-90 apabila meledak gol kedua menerusi rembatan leret ke arah kiri gawang yang terkena tiang sebelum menerjah jaring.

Sebagai rekod,kejayaan itu menyaksikan JDT merangkul gelaran Piala Malaysia keenam selepas muncul juara pada edisi 2017, 2019, 2022, 2023 dan 2024-2025, sekali gus menjadi pasukan pertama memenangi trofi berprestij itu empat musim berturut-turut.

Sebelum ini, hanya Selangor, Singapura dan Kuala Lumpur pernah menjulang Piala Malaysia tiga musim berturut-turut.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560800