JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan Isnin ini sebagai Hari Cuti Peristiwa sempena kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia musim 2025/2026.
Pengisytiharan itu dibuat selepas skuad Harimau Selatan menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata cuti peristiwa itu diumumkan atas perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Johor dan penyokong setia JDT atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan berkenaan.
“Sesungguhnya kemenangan ini adalah hadiah buat seluruh Bangsa Johor dan para penyokong JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan dalam suka dan duka, di setiap perlawanan dan musim,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan kepimpinan Johor dalam membangunkan bola sepak moden dan berprestasi tinggi sehingga JDT terus menjadi kebanggaan negeri serta disegani di peringkat nasional dan Asia.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada barisan pemain, jurulatih, pengurusan pasukan serta seluruh keluarga besar JDT atas kejayaan membanggakan itu.
-- BERNAMA