EKONOMI

Bioeconomy Corp Pacu Pertumbuhan Hijau Melalui Kerjasama Rentas Sempadan Di Ekspo 2025 Osaka

29/05/2025 09:31 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) sedang membangunkan ekosistem bersepadu yang merapatkan jurang antara inovasi dan kemampanan, memperkukuh ekonomi luar bandar dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan hijau.

Komitmen ini dizahirkan melalui usaha sama rentas sempadan antara sebuah syarikat tenaga boleh baharu Malaysia dan sebuah konglomerat Jepun bersempena pameran di Ekspo 2025 Osaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kerjasama itu yang disokong oleh Bioeconomy Corporation memberi tumpuan kepada pengeluaran biometana dan biometanol pada skala komersial, menggunakan sisa minyak sawit sebagai bahan mentah.

Beliau berkata kerjasama itu juga mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap ekonomi berasaskan bio Malaysia dan menunjukkan pemindahan teknologi yang berkesan serta inovasi tenaga bersih melalui kerjasama strategik dan minat pelabur yang kukuh terhadap rangka kerja pembangunan bioekonomi negara.

“Melalui penglibatan di Ekspo 2025 Osaka, Bioeconomy Corporation berjaya menterjemah dialog global menjadi aplikasi industri, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam inovasi mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairul Fidzal berkata salah satu perkembangan paling ketara dalam bioekonomi Malaysia ialah pengembangan biometana, sumber tenaga boleh baharu yang dihasilkan daripada kumbahan kilang minyak sawit dan sisa organik lain.

Beliau berkata memandangkan Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, pengkomersialan biometana dalam sektor perladangan adalah sangat penting untuk membuka nilai dari segi alam sekitar dan ekonomi.

Biometana merupakan bahan api yang lebih bersih dan neutral karbon berbanding arang batu atau minyak. Di Malaysia, biometana telah digunakan sejak 2011 sebagai sumber tenaga boleh baharu di bawah program Tarif Galakan (Feed-in Tariff) yang diterajui oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

“Langkah awal ini menyokong matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasarkan tenaga boleh baharu seperti biometana untuk membentuk 70 peratus kapasiti tenaga negara menjelang 2050.”

“Peralihan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan selaras dengan permintaan global,” kata Mohd Khairul Fidzal.

Selain itu, beliau berkata biometana menawarkan peluang yang menarik — ia boleh ditukar menjadi gas untuk kenderaan atau dimasukkan ke dalam saluran paip sedia ada, seperti yang telah dilakukan oleh Gas Malaysia baru-baru ini.

Ia juga boleh dicairkan bagi memudahkan urusan penyimpanan dan pengangkutan, dengan perancangan sedang dijalankan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi bahan api itu.

Biometana juga berpotensi untuk digunakan bagi menjana pesawat dan kapal sebagai tenaga alternatif yang lebih mesra alam.

Dianggarkan bahawa sumber asli di ASEAN berpotensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang mencukupi menjelang 2050 untuk memenuhi 12 peratus keperluan syarikat penerbangan di peringkat global.

Dengan pasaran bahan api marin global dijangka mencecah US$171.49 bilion menjelang 2030, pilihan yang lebih bersih seperti biometana menjadi semakin penting berbanding sebelum ini.

“Perkembangan ini didorong oleh kepimpinan Bioeconomy Corporation dalam menyelaraskan dasar, industri, penyelidikan dan pengkomersialan bagi menjadikan biojisim Malaysia sebagai penyelesaian praktikal yang memajukan usaha penyahkarbonan dan peralihan tenaga negara,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan penggunaan teknologi berasaskan bio secara komersial, melabur dalam infrastruktur inovasi dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan serta memperkukuh perkongsian serantau untuk menerajui peralihan hijau ASEAN.

Bioeconomy Corporation merupakan agensi utama pembangunan untuk industri berasaskan bio dan bioteknologi di Malaysia, di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428674