Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia memperuntukkan kira-kira RM3 bilion bagi Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok, satu inisiatif strategik rentas sempadan dengan Thailand yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, melindungi komuniti setempat dan memperkukuh keselamatan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan memulakan pelbagai langkah komprehensif sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Thailand.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jumlah keseluruhan pembiayaan projek itu—termasuk program tebatan banjir dan pembinaan tembok keselamatan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN)—dianggarkan bernilai sekitar RM3 bilion.
“Kita telah memaklumkan kepada kerajaan Thailand bahawa Malaysia meluluskan lokasi bagi kerja-kerja pengorekan muara sungai, dan pada masa sama melaksanakan penambahbaikan di Sungai Golok, termasuk pembinaan tembok sungai.
"Ini bukan sekadar inisiatif tebatan banjir, malah satu langkah keselamatan negara.
“Projek ini akan menangani isu banjir secara menyeluruh dan apabila siap kelak, ia dijangka dapat mengurangkan insiden banjir serta kerugian berkaitan harta benda, aset dan mata pencarian, bukan sahaja untuk penduduk setempat tetapi juga bagi sektor perniagaan dan infrastruktur kerajaan,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan kerja empat hari beliau ke Thailand pada Sabtu.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian daripada projek masih menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa Thailand, dan tempoh jangkaan siap ialah tiga tahun dari tarikh pelaksanaan.
Sementara itu, Fadillah berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) melengkapkan kajian kebolehlaksanaan bagi menaik taraf kemudahan sambungan grid kuasa antara kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua negara menyedari bahawa sambungan sedia ada yang dibina pada awal 2000-an kini semakin usang dan memerlukan penaiktarafan.
“Apabila Malaysia dan Thailand terus mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui dalam grid masing-masing, kebolehpercayaan sambungan ini menjadi semakin penting.
"Penaiktarafan ini akan membolehkan pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan dilakukan dengan lebih cekap dan selamat, serta menjadi asas kepada perdagangan tenaga pelbagai hala di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG),” katanya.
Semasa lawatan kerja itu, Fadillah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas layanan mesra yang diberikan.
“Lawatan ini amat bermakna dan berjaya kerana kami berpeluang membincangkan pelbagai projek antara kerajaan,” katanya.
Fadillah turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Prasert Jantararuangtong, yang juga Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat serta Pengerusi Lembaga Alam Sekitar Kebangsaan, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Pirapan Salirathavibhaga.
Beliau turut bertemu Menteri Pertanian dan Koperasi Narumon Pinyosinwat.
-- BERNAMA