DUNIA

Malaysia, Thailand Jalin Kerjasama Tangani Banjir Di Muara Sungai Golok

23/05/2025 02:26 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia melaksanakan pelbagai langkah menyeluruh di bawah inisiatif Kerjasama Rentas Sempadan dengan Thailand melalui Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok, bagi menangani masalah banjir berulang serta meningkatkan kualiti hidup penduduk di sepanjang sungai itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sungai itu yang menjadi sempadan semula jadi antara Malaysia dan Thailand sudah sekian lama terdedah kepada banjir yang menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

“Usaha mengurangkan risiko banjir di muara Sungai Golok memerlukan gabungan penyelesaian kejuruteraan, pengurusan alam sekitar dan langkah dasar bagi menangani isu pemendapan, kawalan aliran air serta mengurangkan impak banjir,” katanya.

Bagi menangani cabaran ini, kerajaan Malaysia melaksanakan inisiatif komprehensif sebagai sebahagian daripada kerjasama rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prasert Jantararuangtong di Rumah Kerajaan di sini, bersempena lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Thailand.

Beliau berkata, perjanjian antara Malaysia dan Thailand mengenai projek itu telah wujud sejak 1997 melalui Pasukan Penilaian Bersama (JET), Kumpulan Kerja Teknikal Bersama (JTWG) dan Jawatankuasa Pemandu Bersama (JSC).

“Bagi mengurangkan impak dan risiko banjir ketika musim tengkujuh, Malaysia merancang untuk menjalankan kerja pengorekan muara Sungai Golok serta membina benteng atau pemecah ombak menjelang akhir 2025, tertakluk kepada kelulusan JTWG dan kerajaan Thailand,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju semasa Mesyuarat JTWG ke-40 untuk meneruskan perbincangan dalam mesyuarat JET dan JTWG yang akan datang, dengan kemas kini akan dibentangkan dalam mesyuarat JSC seterusnya tahun ini.

Fadillah berkata, Malaysia dijangka menyelesaikan kajian pemendapan pasca banjir menjelang April 2025 dan menjelaskan paras mendapan telah melebihi aras purata pasang surut laut (TMSL), sekali gus memerlukan kerja pengorekan dilakukan.

Malaysia juga memperoleh peruntukan untuk skop kerja tambahan yang dirancang, katanya.

Sementara itu, Prasert yang juga Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand, menyambut baik inisiatif Malaysia dan mengesahkan kementeriannya telah berkoordinasi dengan Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand bagi menyokong pelaksanaan projek itu.

Pada April lalu, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand, beliau menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Perjanjian Pembinaan (CA) Projek Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok.

Projek itu dijangka dapat memperkukuh hubungan, perdagangan dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426045