AM

Nga Ketuai Delegasi Malaysia Ke Perhimpunan Agung UN-Habitat Di Nairobi

24/05/2025 05:41 PM

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming akan mengetuai delegasi Malaysia ke ibu Perhimpunan Agung Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Nairobi, Kenya, pada minggu hadapan. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan penyertaan Malaysia di perhimpunan itu satu pencapaian penting memandangkan negara akan bertanding untuk jawatan presiden.

“Jika terpilih, Malaysia bakal mengetuai badan induk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai oleh 193 negara anggota itu bagi penggal 2026–2029,” menurut kenyataan berkenaan.

Menurut KPKT, sesi kedua perhimpunan agung itu akan berlangsung di ibu pejabat UN-Habitat pada 29 dan 30 Mei yang juga bakal menyaksikan pemilihan jawatan presiden diadakan.

“Andai dipilih maka ini kali pertama dalam tempoh 15 tahun Malaysia mengetuai badan PBB itu, selepas Tan Sri Hamidon Ali berkhidmat sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) PBB pada 2010.”

“Sebelum ini, Tan Sri Razali Ismail pernah memegang jawatan Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dari 1996 hingga 1997, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah memimpin UNESCO pada 1988,” menurut kenyataan itu.

Nga berkata jika Malaysia diberi mandat menyandang jawatan penting itu, ia bukan sahaja menyerlahkan lagi kedudukan negara di persada antarabangsa, malah memberi peluang untuk menerajui dan merangka agenda pembangunan bandar lestari global yang memberi kesan kepada berbilion penduduk di seluruh dunia.

“Ini bukan sekadar satu penghormatan diplomatik, malah peluang berharga untuk membuktikan keupayaan negara dalam merangka dasar antarabangsa. Dengan menyandang jawatan itu, Malaysia bukan  sahaja tampil sebagai wakili Malaysia yang berwibawa di pentas dunia bahkan memperkukuh komuniti global ke arah bandar lebih selesa dan sejahtera,” katanya.

Keputusan rasmi pemilihan jawatan itu akan diumumkan pada 30 Mei.

Selain itu, Nga turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama pemimpin dari Kenya, Mexico, Azerbaijan, China, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

UN-Habitat merupakan badan pembuat keputusan utama dalam isu urbanisasi mampan dan penempatan manusia dan bersidang setiap empat tahun.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426608