AM

Hasil Tangan Prospek Penjara Jadi Tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

24/05/2025 08:01 PM

 

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Walaupun sesetengah pihak masih memandang sinis terhadap prospek (penghuni) penjara, Jabatan Penjara Malaysia melihat mereka sebagai individu berpotensi yang mampu berubah serta menyumbang kembali kepada masyarakat.

Pandangan positif ini dibuktikan apabila hasil Kain Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dan penuh nilai warisan oleh prospek Penjara Bentong dan Penor dipamerkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pegawai Pemasaran (Seksyen Vokasional dan Industri) Jabatan Penjara Malaysia Sarjan Mejar Zulkifli Jusoh berkata hasil tenunan itu memikat pengunjung kerana kehalusan seni, keunikan rekaan, serta nilai warisan budaya Melayu.

“Kain ini dihasilkan sepenuhnya secara manual oleh prospek penjara, dan setiap helaian mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk disiapkan, bergantung kepada kerumitan coraknya.

“Ia bukan sahaja eksklusif, tetapi juga mencerminkan keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai tersebut hari ini.

Istilah ‘prospek penjara’ merujuk kepada banduan yang mengikuti program pemulihan atau pembangunan sahsiah, sebagai satu pendekatan progresif yang bertujuan mengubah persepsi masyarakat, sekali gus memberi peluang kedua kepada individu yang menjalani hukuman.

Zulkifli berkata penyertaan ini bukan sekadar pameran, malah menjadi platform antarabangsa untuk memperkenalkan hasil kraftangan prospek penjara kepada dunia.

Selain kain tenun, reruai Jabatan Penjara turut mempamerkan pelbagai produk lain seperti baju, tanjak, tali leher, dan beg tangan yang diperbuat daripada kain songket serta batik oleh penghuni Penjara Pangkalan Chepa dan Penjara Wanita Kajang.

Tidak ketinggalan, produk makanan seperti kuih semperit dan almond London yang pernah tular kerana keenakannya turut dijual pada harga berpatutan dengan kualiti yang terjamin.

“Reruai ini memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri hasil usaha pemulihan prospek penjara melalui program pembangunan kemahiran, yang membuka ruang untuk mereka membina kehidupan lebih baik selepas pembebasan,” katanya.

Pameran ini merupakan sebahagian daripada acara sampingan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung dari 24 hingga 27 Mei, menampilkan 36 reruai dengan 25 pempamer tempatan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama ASEAN.

Turut dijadualkan ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426660