KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Blok ASEAN digesa untuk bersama dalam konsensus bagi mendepani isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) agar semua negara anggota mendapat manfaatnya, kata pakar ekonomi.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan Malaysia wajar meyakinkan negara anggota ASEAN supaya bersama-sama sebagai satu suara dalam usaha mengadakan rundingan berhubung tarif timbal balas yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.
Katanya negara ASEAN secara bersendirian tidak mempunyai kekuatan ekonomi tunggal untuk bertindak balas terhadap tarif yang dikenakan AS.
“Namun, secara konsensus akan membentuk satu rantau ekonomi yang kuat. (Oleh itu), kita perlu mempunyai strategi secara konsensus.
“Ada pepatah 'bersatu teguh, bercerai roboh'. Inilah masanya untuk menjadikan itu sebagai kenyataan. Ini mungkin perkara yang perlu diyakinkan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN,” katanya pada program Siaran Khas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Bernama TV hari ini.
Ahmed Razman turut berpandangan peningkatan perdagangan intra-ASEAN perlu bermula dengan peningkatan permintaan domestik dalam kalangan negara-negara ASEAN yang mempunyai kira-kira 700 juta populasi.
“Permintaan datang daripada kemampuan pengguna untuk menggunakan barangan tersebut.
“Kalau kita mahu tingkatkan perdagangan antara ASEAN tetapi mereka tidak mampu atau tidak ada permintaan, kita tak boleh nak jual atau pasarkan barangan itu,” katanya.
Malaysia selaku pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025 akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 26 Mei.
Bersempena sidang itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA