PASARAN

Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Susulan Kekukuhan Indeks Dolar

22/05/2025 08:59 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih kukuh selepas penurunan penarafan oleh Moody’s Ratings.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2705/2765 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2685/2735 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengekalkan aliran positif pada sesi pagi apabila USD/MYR mencecah paras sehingga RM4.2455 sebelum melemah menjelang sesi penutup dagangan.

“DXY kekal berada di bawah 100 mata apabila kebimbangan terhadap beban fiskal telah menyebabkan peniaga dan pelabur mengelak pegangan dolar AS.

"Penurunan penarafan oleh Moody's Ratings baru-baru ini telah menjejaskan lagi kesan apabila pentadbiran baharu AS mendesak rang undang-undang pemotongan cukai yang boleh memburukkan lagi tahap hutang kerajaan AS," katanya kepada Bernama.

 Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.7212/7292 daripada 5.7241/7308 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.8218/8286 daripada 4.8379/8436 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.9768/9812 daripada 2.9642/9679.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3061/3110 daripada 3.3071/3115 pada Rabu dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0000/0254 daripada 13.0121/0353.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.69 daripada 7.67/7.68 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.5/262.0 daripada 260.2/260.7 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425854